ASIA
2 min membaca
Kabinet khas Thailand bersidang bincang krisis tenaga, kenaikan petrol 6 baht
Menurut sumber kerajaan, mesyuarat itu bertujuan membincangkan langkah-langkah mitigasi yang dicadangkan oleh pelbagai agensi bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga tersebut.
Kabinet khas Thailand bersidang bincang krisis tenaga, kenaikan petrol 6 baht
Anutin enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita mengenai kenaikan harga bahan api. (FAIL) / Reuters
9 jam yang lepas

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengadakan mesyuarat Kabinet khas pada Khamis bagi menangani krisis tenaga yang semakin meruncing, menurut laporan The Nation.

Langkah itu diambil susulan keputusan Jawatankuasa Pentadbiran Dana Bahan Api Minyak (OFFAC) untuk melaraskan kadar pampasan diesel dan petrol, yang menyebabkan harga runcit semua jenis bahan api melonjak sebanyak 6 baht seliter berkuat kuasa serta-merta.

Menurut sumber kerajaan, mesyuarat itu bertujuan membincangkan langkah-langkah mitigasi yang dicadangkan oleh pelbagai agensi bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga tersebut.

Kabinet juga akan diberi taklimat mengenai situasi pasaran minyak semasa, trend harga masa depan, serta impaknya terhadap kos sara hidup dan pengurusan Dana Bahan Api Minyak.

OFFAC menjelaskan bahawa kenaikan mendadak 6 baht itu bersandarkan tiga faktor utama.

Antaranya adalah untuk membendung aktiviti menyorok bekalan oleh pengedar dan peruncit, selain menyekat penyeludupan ke negara jiran berikutan harga domestik yang jauh lebih rendah sebelum ini.

Selain itu, pelarasan tersebut bertujuan mencerminkan keadaan pasaran sebenar bagi memastikan rakyat Thailand memahami mekanisme harga yang telus.

Sesi peringkat tinggi itu dihadiri menteri dan pegawai kanan daripada agensi ekonomi dan keselamatan, termasuk Kementerian Kewangan, Tenaga, Pertanian, Perdagangan, serta Ekonomi Digital dan Masyarakat.

Turut hadir adalah wakil Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan (NESDC), Biro Belanjawan dan Pejabat Majlis Negara bagi menyelaraskan strategi bantuan.

Anutin enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita mengenai kenaikan harga bahan api tersebut sebelum memasuki Bangunan Thai Khu Fa.

Penganalisis menjangkakan Kementerian Kewangan akan memperkenalkan langkah-langkah bantuan bersasar bagi membantu golongan rentan yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.