Laos, Thailand dan Malaysia perkukuh kerjasama tenaga ASEAN

Majlis pemeteraian yang berlangsung pada 14 Januari di ibu pejabat Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) di Bangkok itu menghimpunkan pegawai kanan dan wakil kerajaan ketiga-tiga negara.

By
Pegawai dari Laos, Thailand dan Malaysia memeterai perjanjian penghantaran elektrik di Bangkok, Thailand, pada 14 Januari. / Foto: EDL / Other

Laos, Thailand dan Malaysia kini melangkah ke tahap baharu dalam integrasi tenaga serantau menerusi pemeteraian perjanjian penghantaran elektrik di bawah Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP), lapor Vientiane Times.

Pemeteraian perjanjian ini dilihat mampu mengukuhkan lagi komitmen ASEAN terhadap sistem tenaga yang lebih bersepadu dan berdaya tahan.

Majlis pemeteraian yang berlangsung pada 14 Januari di ibu pejabat Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) di Bangkok itu menghimpunkan pegawai kanan dan wakil kerajaan ketiga-tiga negara.

Perjanjian tersebut membolehkan penghantaran rentas sempadan sebanyak 100 megawatt (MW) elektrik dari Laos ke Singapura menggunakan rangkaian penghantaran sedia ada di Thailand dan Malaysia, bagi tempoh kontrak selama dua tahun.

Fasa kedua LTMS-PIP itu disifatkan sebagai progres yang bermakna ke arah visi Grid Kuasa ASEAN, yang bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga, mengoptimumkan sumber serantau dan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan melalui perdagangan elektrik antara negara anggota.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Timbalan Pengarah Urusan Electricite du Laos (EDL) Souksavath Sosouphanh, Gabenor EGAT Nerin Phauwanit dan Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) Hasmarizal Hassan, dengan disaksikan pegawai kanan kementerian tenaga ketiga-tiga negara.

Pegawai-pegawai kerajaan yang hadir berkata projek ini bukan sekadar urusan perdagangan elektrik, tetapi satu inisiatif strategik yang mengukuhkan kesalinghubungan tenaga, meningkatkan kebolehpercayaan sistem kuasa dan membuktikan keupayaan ASEAN melaksanakan projek infrastruktur pelbagai hala yang kompleks dengan menggunakan infrastruktur sedia ada, sekali gus mengurangkan kos dan kesan alam sekitar.