BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
BMI: Malaysia utamakan pusat data AI bernilai tinggi, tolak projek tidak cekap
Malaysia turut memperketat kawalan alam sekitar dengan menolak hampir 30 peratus cadangan pusat data yang gagal menunjukkan amalan penggunaan air dan tenaga yang bertanggungjawab.
BMI: Malaysia utamakan pusat data AI bernilai tinggi, tolak projek tidak cekap
Langkah ini dijangka akan membawa kepada konsolidasi dalam kalangan platform yang mempunyai dana kukuh. (FAIL) / Reuters

Malaysia memberi keutamaan kepada projek bernilai tinggi dan modal berintensiti dengan hanya meluluskan pusat data Kecerdasan Buatan (AI) yang lebih besar, satu langkah yang menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan AI negara, menurut firma penyelidikan BMI.

Firma unit Fitch Solutions itu dalam satu nota penyelidikan menyatakan, pandangan ini diperkukuh oleh dasar yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Februari.

Di bawah dasar tersebut, semua cadangan bagi pusat data bukan berkaitan AI di Malaysia telah dihentikan sejak tahun 2024, menurut laporan BERNAMA.

Langkah ini dijangka akan membawa kepada konsolidasi dalam kalangan platform yang mempunyai dana kukuh.

BMI mengunjurkan persaingan akan semakin memihak kepada pemain besar dan berpengalaman berbanding peserta baharu, memandangkan halangan kemasukan ke pasaran tempatan, khususnya di Johor, kini semakin meningkat.

"Kenyataan ini menjelaskan pasaran pusat data Asia Tenggara yang agak bercabang, di mana rangkaian kapasiti Malaysia hampir keseluruhannya bertumpu kepada AI, dengan anggaran kami mencecah 4.6GW kapasiti (termasuk yang dirancang dan dalam pembinaan)," menurut firma tersebut seperti dipetik BERNAMA.

Walaupun pasaran lain seperti Filipina, Vietnam, Indonesia dan Thailand dijangka akan cuba merebut permintaan pusat data bukan AI, naratif permintaan di Malaysia telah matang.

Ia kini tidak lagi bergantung kepada limpahan permintaan dari Singapura semata-mata, sebaliknya dipacu oleh cita-cita digital kerajaan dan pelaburan berskala besar.

Selain itu, Malaysia turut memperketat kawalan alam sekitar dengan menolak hampir 30 peratus cadangan pusat data yang gagal menunjukkan amalan penggunaan air dan tenaga yang bertanggungjawab.