Kerajaan komited untuk memperkukuh pengurusan pelarian dan pemohon suaka di negara ini menerusi penyelarasan antara agensi yang lebih mantap bagi memastikan keselamatan negara kekal terpelihara.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan bahawa pendekatan Malaysia terhadap isu ini sedang dikaji semula memandangkan cabarannya yang semakin kompleks dan memerlukan perhatian berterusan.
Ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Keselamatan Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka semalam, Saifuddin menjelaskan fokus utama adalah untuk memperkemas penyelarasan agensi.
Langkah itu bertujuan melaksanakan pengurusan yang lebih tersusun dan efektif, sambil memastikan kedaulatan serta keselamatan awam tidak sesekali dikompromi.
Saifuddin turut menyifatkan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), yang telah bermula sejak 1 Januari lalu, sebagai langkah signifikan ke arah pengurusan yang lebih sistematik.
“Melalui inisiatif ini, kita dapat mengumpulkan data yang lebih jelas dan menyeluruh supaya proses kawal selia dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.
"Usaha penambahbaikan ini akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa agar pengurusan isu ini lebih jelas, terkawal dan memberi manfaat kepada semua pihak," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Saifuddin optimis bahawa pemerkasaan data adalah kunci kepada kestabilan pengurusan isu pelarian di Malaysia.












