PERANG GAZA
3 min membaca
Polis NY ambil tindakan pelajar terlibat protes bantah duduk pro-Palestin
Selepas tiga pelajar dibuang kerana terlibat dalam protes pro-Palestin, beberapa pelajar mengadakan protes duduk bantah sebagai sokongan terhadap rakan mereka di perpustakaan Kolej Barnard.
00:00
Polis NY ambil tindakan pelajar terlibat protes bantah duduk pro-Palestin
NYPD mengarahkan penunjuk perasaan pro-Palestin untuk beredar dari Kolej Barnard selepas mereka mengadakan protes duduk bantah di perpustakaan Milstein. / Foto: AA
8 Mac 2025

Polis New York melancarkan tindakan keras terhadap pelajar pro-Palestin yang mengadakan protes duduk bantah di perpustakaan Kolej Barnard sebagai reaksi terhadap keputusan Universiti Columbia yang membuang tiga pelajar kerana menyokong Palestin.

Menurut pihak polis pada Rabu, mereka ketika itu sedang menyiasat dakwaan ancaman bom.

Penunjuk perasaan melancarkan protes duduk bantah di Perpustakaan Milstein Barnard pada petang Rabu dan memberinya nama baharu iaitu “Zon Merdeka Dr. Hussam Abu Safiya.” Doktor tersebut merupakan pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza sebelum beliau diculik tentera Israel pada Disember lalu.

“Kami telah menamakan semula Perpustakaan Milstein sebagai penghormatan kepadanya untuk mendesak masyarakat antarabangsa memberi perhatian terhadap penahanan Dr. Hussam Abu Safiya dan mengambil tindakan segera bagi membebaskan beliau,” kata kumpulan Columbia Students for Justice in Palestine di platform X.

“Penindasan Barnard terhadap aktivis pelajar yang semakin meningkat mencerminkan tindakan keras terhadap ucapan dan advokasi pro-Palestin,” tambahnya.

Barnard merupakan sebahagian daripada Universiti Columbia. Pihak pengurusan universiti itu menyatakan mereka “sedang menyiasat gangguan di Perpustakaan Milstein.”

Selepas perpustakaan dikosongkan, Jabatan Polis New York berkata anggotanya masih berada di lokasi dan beberapa tangkapan telah dibuat. Namun, jumlah yang ditahan serta pertuduhan yang dihadapi masih belum jelas.

Kumpulan pelajar tersebut mengecam tindakan universiti terhadap mereka.

“Walaupun dengan percubaan pengecut mereka untuk menghentikan kami, Zon Merdeka Dr. Hussam Abu Safiya akan terus wujud kerana kami tidak akan berhenti memperjuangkan ‘banduan’ kami dan kebebasan Palestin,” kata mereka.

Pengusiran ‘Diskriminasi’

Cawangan New York bagi Council on American-Islamic Relations (CAIR) mengecam pengusiran pelajar Barnard dan menyifatkannya sebagai tindakan “diskriminasi.”

“Pengusiran seorang pelajar oleh Kolej Barnard kerana memprotes pembunuhan beramai-ramai di Palestin bukan sekadar serangan terhadap hak pelajar itu—ia adalah sebahagian daripada usaha sistematik untuk membisukan dan menghukum sesiapa sahaja yang berani bersuara menentang tindakan ‘apartheid’ dan pembunuhan beramai-ramai Israel,” kata Afaf Nashe, pengarah eksekutif cawangan tersebut.

“Tindakan keras bermotifkan politik ini mendedahkan sikap permusuhan yang mendalam dikalangan pentadbir universiti terhadap suara pelajar yang memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan,” tambahnya.

Jabatan Kehakiman mengumumkan minggu lalu bahawa Universiti Columbia akan menjadi salah satu daripada 10 universiti yang akan dikunjungi pasukan khas persekutuan untuk menentukan sama ada kolej-kolej itu “gagal melindungi pelajar dan pengajar berbangsa Yahudi daripada diskriminasi yang menyalahi undang-undang dan berpotensi melanggar undang-undang persekutuan” semasa demonstrasi besar-besaran tahun lalu yang menentang kekejaman Israel di Gaza.

Pasukan khas ini ditubuhkan Presiden Donald Trump pada Januari.

Minggu ini, beliau mengugut memotong pembiayaan persekutuan kepada universiti jika mereka membenarkan “protes haram” di kampus mereka.

SUMBER: TRT World dan Agensi