Rekod bersih Malaysia dalam Kejohanan ASEAN 2026 akhirnya lebur selepas tewas 0-2 kepada juara tujuh kali, Thailand, di Stadium Rajamangala, menurut laporan ESPN.
Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Yotsakorn Burapha pada minit ke-37 susulan semakan VAR yang dijalankan, sebelum Teerasak Poeiphimai mengukuhkan kemenangan menerusi jaringan kemas pada separuh masa kedua.
Walaupun skuad Harimau Malaya cuba bangkit menerusi percubaan kapten Paulo Josué dan Daryl Sham di penghujung perlawanan, ketangkasan penjaga gol Thailand, Kampol Pathomakkakul, berjaya menghalang bola menembusi gol.
Kemenangan ini membuktikan keupayaan generasi baharu Thailand di bawah kendalian Anthony Hudson.
Walaupun membariskan ramai pemain muda tanpa pengalamanan luas di peringkat antarabangsa, persembahan bertenaga pemain seperti Teerasak, Yotsakorn, Seksan Ratree, dan Kakana Khamyok menunjukkan masa depan bola sepak Thailand kekal terjamin.
Kekalahan itu sekali gus menjejaskan laluan Malaysia apabila dijangka bersaing sengit dalam perebutan slot separuh akhir Kumpulan B bersama Myanmar dan Filipina.
Sungguhpun begitu, nasib Malaysia masih berada di tangan sendiri.
Skuad negara mempunyai masa untuk berehat dan membuat persiapan rapi sebelum berdepan perlawanan penentu menentang Filipina bagi mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.



















