Pengusaha emas Thailand adakan mesyuarat tergempar susulan turun naik harga
Ketidaktentuan melampau itu menyebabkan sistem dagangan emas dalam talian tidak dapat menampung jumlah transaksi, selain kelewatan pengumuman harga penanda aras akibat perubahan global yang terlalu pantas.
Pasaran emas Thailand berdepan turun naik luar biasa pada Isnin apabila harga emas jatuh dengan mendadak, sejajar dengan kejatuhan harga emas global, sekali gus mendorong Persatuan Pedagang Emas Thailand mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani risiko kepada pelabur dan pengusaha kedai emas.
Media tempatan The Nation menyatakan persatuan itu melaporkan sebanyak 69 pelarasan harga dalam sehari, dengan penurunan mencecah 3,050 baht.
Ketidaktentuan melampau itu menyebabkan sistem dagangan emas dalam talian tidak dapat menampung jumlah transaksi, selain kelewatan pengumuman harga penanda aras akibat perubahan global yang terlalu pantas.
Presiden persatuan, Jitti Tangsitpakdee, berkata spekulasi agresif kebelakangan ini meningkatkan risiko pertukaran harga yang mendadak, manakala jurang harga belian-jualan yang semakin meluas memberi tekanan besar kepada pengusaha kedai emas, khususnya apabila harga berubah setiap beberapa minit.
Mesyuarat tergempar pada malam 2 Februari itu menghimpunkan wakil borong, runcit dan penyedia sistem, di mana perbincangan merangkumi penambahbaikan sistem pengumuman harga agar lebih pantas dan mengikut masa nyata.
“Cadangan sekatan dagangan sementara turut dibincangkan, namun ia memerlukan penelitian lanjut,” menurut persatuan itu.
Sebagai langkah segera berkuat kuasa pada Selasa, persatuan tersebut bersetuju untuk melebarkan jurang harga belian-jualan kepada 200 baht bagi mengurus ketidaktentuan, serta menaik taraf sistem penetapan harga bagi mengurangkan jurang dengan pasaran global dan mengehadkan risiko kerugian di kedai-kedai emas.
Penganalisis pasaran pula menilai kejatuhan itu dipacu pengambilan untung susulan isyarat dasar yang mengukuhkan dolar Amerika Syarikat.
Walaupun ketidaktentuan dijangka berterusan dalam jangka pendek, sokongan struktur seperti ketegangan geopolitik kekal memberi kesan ke atas harga emas.
Persatuan tersebut turut menasihati pelabur agar lebih berdisiplin, mengurus modal dengan cermat dan mengelak mengejar harga.