Instrumen kewangan Islam perlu tadbir urus kukuh – PM Anwar
Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu kerajaan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM15 bilion hasil rampasan aset serta pemulangan dana yang hilang akibat rasuah dan kegiatan sindiket.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan instrumen kewangan Islam tidak akan mencapai matlamat sebenar sekiranya sistem di sebaliknya masih dibelenggu rasuah dan tadbir urus yang lemah.
Menurut Anwar, dalam tempoh dua tahun lalu kerajaan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM15 bilion hasil rampasan aset serta pemulangan dana yang hilang akibat rasuah dan kegiatan sindiket.
Beliau menegaskan bahawa keadilan dan kesaksamaan dalam pembangunan ekonomi mesti menjadi keutamaan.
“Sebagaimana ditegaskan oleh prinsip Maqasid Syariah, pembangunan kewangan Islam bukan sekadar mengislamkan instrumen, tetapi menegakkan keadilan sosial dan menangani kemiskinan,” katanya ketika berucap pada Forum Kewangan Islam Global 2025 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Anwar turut mengkritik kecenderungan kapitalisme tidak terkawal, termasuk di negara Islam, yang mengabaikan nilai kemanusiaan.
“Kita perlu menilai semula makna pembangunan ekonomi agar ia turut mencakupi aspek keadilan dan kualiti manusia,” ujarnya.
Beliau memetik contoh pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai model tadbir urus unggul yang berjaya membasmi kemiskinan.
“Namun, sehebat mana pun instrumen kewangan Islam, jika sistemnya beroperasi dalam budaya rasuah dan salah guna kuasa, ia tidak akan memenuhi tuntutan maqasid syariah,” katanya.