ASIA
2 min membaca
3 rakyat Malaysia antara 49 ditahan dalam serbuan sindiket penipuan di Kemboja
Dalam operasi tersebut, polis merampas pelbagai peralatan elektronik yang digunakan untuk aktiviti jenayah, termasuk 60 komputer meja, 31 unit CPU, sebuah komputer riba, 687 telefon bimbit, serta 46 kad SIM Malaysia.
3 rakyat Malaysia antara 49 ditahan dalam serbuan sindiket penipuan di Kemboja
Semua suspek kini berada dalam tahanan Polis Perbandaran Phnom Penh untuk tindakan lanjut. / Foto: Khmer Times / Other
10 jam yang lepas

Pihak berkuasa Kemboja berjaya melumpuhkan satu operasi penipuan atas talian (scam) dalam satu serbuan di sebuah hotel di komune O’Bek Ka’am, daerah Sen Sok di Kemboja, menurut laporan Khmer Times.

Seramai 49 individu telah ditahan termasuk tiga warga Malaysia dalam operasi yang diketuai oleh Ketua Polis Perbandaran, Leftenan Jeneral Chuon Narin.

Selain warga Malaysia, tangkapan turut melibatkan 43 warga China, serta masing-masing seorang warga Vietnam, Myanmar, dan Kemboja.

Menurut kenyataan rasmi Polis Perbandaran Phnom Penh, sindiket berkenaan dikesan beroperasi di tingkat bawah tanah, tingkat dua, dan tingkat tiga bangunan tersebut.

Dalam operasi tersebut, polis merampas pelbagai peralatan elektronik yang digunakan untuk aktiviti jenayah, termasuk 60 komputer meja, 31 unit CPU, sebuah komputer riba, 687 telefon bimbit, serta 46 kad SIM Malaysia.

Bahan bukti itu mengukuhkan lagi kaitan aktiviti tersebut dengan operasi penipuan rentas sempadan, menurut polis.

Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan menjadikan Kemboja sebagai pangkalan untuk menjalankan skim "pelaburan palsu".

Sasaran utama mereka adalah mangsa di Malaysia dan beberapa negara lain.

Difahamkan, sindiket itu baru sahaja berpindah dari wilayah Tboung Khmum sebelum dikesan pihak berkuasa di ibu kota Kemboja.

Semua suspek kini berada dalam tahanan Polis Perbandaran Phnom Penh untuk tindakan lanjut.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran keras kepada pemilik bangunan agar lebih berwaspada terhadap penyewa warga asing yang mencurigakan bagi mengelakkan premis mereka dijadikan sarang jenayah siber.

Kerajaan Kemboja kini dalam misi memperkasakan penguatkuasaan dengan sasaran untuk menghapuskan sepenuhnya aktiviti penipuan berasaskan teknologi di negara tersebut menjelang April ini.