DUNIA
1 min membaca
Anwar bincang krisis Gaza, ketegangan Asia Barat dengan pemimpin BRICS
Antara yang ditemui Anwar ialah Presiden Mesir, Presiden Indonesia, Presiden Kazakhstan, Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Setiausaha Agung PBB serta Ketua Pengarah WTO.
Anwar bincang krisis Gaza, ketegangan Asia Barat dengan pemimpin BRICS
Anwar Ibrahim bertemu beberapa pemimpin dunia semasa majlis makan malam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18. / Facebook/Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membincangkan konflik dan krisis kemanusiaan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat bersama beberapa pemimpin dunia di sela-sela majlis makan malam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18.

Antara yang ditemui ialah Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Kazakhstan, Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Keadaan ini menuntut kesatuan tekad masyarakat antarabangsa, khususnya para pemimpin dunia untuk menghentikan pertumpahan darah dan mengusahakan penyelesaian yang adil serta berkekalan,” kata Anwar dalam hantaran di media sosial.

Mengenai hubungan Malaysia-Mesir, Anwar berkata beberapa perkara akan dibincangkan dengan lebih mendalam ketika el-Sisi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bulan hadapan.

Dalam perbualan bersama Prabowo, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu kebakaran hutan serta perkembangan konflik di Asia Barat yang memerlukan kesepakatan dan tindakan bersama.

“Saya turut memperbaharui jemputan kepada beliau untuk berkunjung ke Malaysia sesegera mungkin agar beberapa perkara dua hala yang masih tertangguh dapat dibincang dan dimuktamadkan,” katanya.

SUMBER:TRT Global