Lebih 160 pertubuhan masyarakat sivil menggesa Malaysia menghentikan rancangan menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar, sambil memberi amaran bahawa mereka berisiko berdepan keganasan dan dipaksa menyertai kumpulan bersenjata.
Dalam kenyataan bersama pada Rabu, pertubuhan berkenaan menyuarakan “kebimbangan serius” terhadap cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendapatkan kerjasama pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing bagi penghantaran pulang komuniti minoriti Islam yang sekian lama ditindas itu.
Malaysia merancang menghantar pulang 1,500 pelarian pada 29 September sebagai fasa pertama.
Kerajaan sebelum ini menyatakan Myanmar bersetuju menerima 5,000 pelarian, namun tidak memperincikan sama ada mereka termasuk Rohingya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia menempatkan kira-kira 193,800 pelarian dari Myanmar setakat Februari, termasuk sejumlah besar komuniti Rohingya.
Pertubuhan terbabit memberi amaran bahawa Rohingya yang kembali ke Myanmar boleh dipaksa menyertai tentera Myanmar, Tentera Arakan (AA) atau Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA).
Tentera Myanmar kini bertempur dengan AA di negeri Rakhine, wilayah asal ramai Rohingya yang telah diusir.
Kenyataan itu turut menyifatkan Min Aung Hlaing sebagai “dalang genosid” terhadap Rohingya, iaitu merujuk kepada operasi ketenteraan terhadap komuniti tersebut.
Myanmar sebelum ini mendakwa operasi tenteranya di Rakhine merupakan tindak balas terhadap serangan militan.
Anwar sebelum ini menyatakan hasrat menjemput Min Aung Hlaing ke Malaysia bagi mendapatkan persetujuan menerima semula pelarian Rohingya.




























