Anwar mulakan lawatan rasmi ke Timor-Leste

Lawatan itu dijangka menyentuh pelbagai aspek kerjasama, termasuk ekonomi, pendidikan, pembangunan kapasiti dan integrasi serantau, seiring komitmen Malaysia dalam memperkukuh solidariti ASEAN.

Anwar berkata lawatan itu penting untuk menyokong kesediaan Timor-Leste sebagai bakal anggota ke-11 ASEAN. / Foto: Pejabat Perdana Menteri / Other

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berlepas ke Republik Demokratik Timor-Leste bagi memulakan lawatan rasmi atas jemputan rakan sejawatnya, Kay Rala Xanana Gusmão.

Anwar berkata lawatan tersebut membawa kepentingan besar dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste, selain menyokong persediaan negara itu sebagai bakal anggota ke-11 ASEAN.

“Lawatan rasmi ini penting untuk memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong kesediaan Timor-Leste sebagai bakal anggota ke-11 ASEAN,” katanya dalam kenyataan ringkas sebelum berangkat.

Beliau turut menzahirkan harapan agar segala perancangan dan agenda sepanjang lawatan tersebut dipermudahkan dan membawa manfaat kepada kedua-dua negara.

“Moga segala perancangan dan agenda yang diatur dipermudahkan dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” ujar Perdana Menteri.

Lawatan itu dijangka menyentuh pelbagai aspek kerjasama, termasuk ekonomi, pendidikan, pembangunan kapasiti dan integrasi serantau, seiring komitmen Malaysia dalam memperkukuh solidariti ASEAN.