Hari ke-2 perang: Israel-AS teruskan serangan di Iran, Tehran lancar serangan balas
Konflik semakin memuncak pada hari kedua apabila Tehran mengesahkan kematian pemimpin agungnya, Ali Khamenei, dan melancarkan serangan balas di seluruh Timur Tengah.
Susulan pembunuhan pemimpin agung Iran, Ali Khamenei, dalam serangan udara bersama oleh AS-Israel pada Sabtu, permusuhan mereka kini terus memuncak di seluruh Tehran dan negara-negara Timur Tengah.
Sejak pagi Ahad, Israel dan Amerika Syarikat terus membedil sasaran strategik Iran, manakala Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap sekutu serantau.
Berikut adalah perkembangan terkini susulan ketegangan yang sedang berlaku:
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melaporkan gelombang baharu serangan udara ke atas Tehran pada Ahad, dipandu oleh risikan tentera yang menyasarkan lokasi-lokasi penting kerajaan serta tentera.
"Buat pertama kali sejak bermulanya Operasi 'Roaring Lion': IDF sedang menyerang sasaran milik rejim pengganas Iran di tengah-tengah Tehran," kata satu kenyataan, sehari selepas serangan bersama dengan AS membunuh pemimpin agung Iran.
"Sepanjang hari lalu, Tentera Udara Israel telah melakukan serangan besar-besaran bagi membuka jalan ke Tehran."
Letupan dilaporkan berlaku di utara Tehran dan di daerah-daerah lain termasuk Seyed Khandan, persimpangan Qasr, Dataran Vanak, dan Jalan Motahari.
Video dan imej dari Tehran menunjukkan kepulan asap tebal dan letupan berhampiran tempat ikonik, termasuk Menara Azadi, kompleks penyiaran negara, hospital, dan ibu pejabat Bulan Sabit Merah Iran.
Pada Ahad, Presiden AS Donald Trump memberi amaran kepada Tehran agar tidak memburukkan lagi keadaan.
Dalam satu hantaran di Truth Social, beliau menyatakan Iran telah mengancam untuk "menyerang dengan sangat kuat hari ini, lebih kuat daripada yang pernah mereka lakukan sebelum ini" dan memberi amaran bahawa "mereka lebih baik tidak melakukannya, kerana jika mereka berbuat demikian, kami akan membalas dengan kekuatan yang tidak pernah dilihat sebelum ini."
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan "gelombang keenam" serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kemudahan AS dan Israel di seluruh Timur Tengah.
Di Israel, pihak tentera mengenal pasti peluru berpandu yang dilepaskan dari Iran dan mengaktifkan sistem pertahanan ketika siren berbunyi di seluruh wilayah tengah dan selatan. Komando Barisan Hadapan mengeluarkan amaran berjaga-jaga melalui telefon bimbit, sambil menggesa penduduk mencari tempat perlindungan.
Serangan Iran juga memberi kesan kepada negara-negara jiran.
Letupan dan asap dilaporkan di Dubai, termasuk di atas pelabuhan Jebel Ali. Di Doha, Qatar, sekurang-kurangnya 16 orang cedera. Bahrain memintas puluhan peluru berpandu dan dron, manakala Iraq melaporkan letupan kuat berhampiran Lapangan Terbang Erbil. Serangan dron turut menghentam pelabuhan komersial Duqm di Oman, mencederakan seorang pekerja dan mencetuskan amaran keselamatan di Muscat.
Seorang jurucakap Iran berkata angka kematian akibat serangan pada Sabtu yang membantai sebuah sekolah di selatan negara itu telah meningkat kepada 108 orang, sambil menambah bahawa kerja-kerja menyelamat dan operasi pembersihan sisa runtuhan masih dijalankan.
Serangan Israel dilaporkan membunuh beberapa pegawai kanan pertahanan, termasuk Ketua Staf Am Abdolrahim Mousavi, komander Kor Pengawal Revolusi Islam Mohammad Pakpour, setiausaha Majlis Pertahanan Ali Shamkhani, dan Menteri Pertahanan Aziz Nasirzadeh. Shamkhani merupakan individu yang baru-baru ini mengetuai rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat.