DUNIA
2 min membaca
Malaysia perlu ambil kira diplomasi dan perdagangan, tumpu kestabilan ekonomi
Seni diplomasi telah membantu Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai pihak, termasuk negara-negara Timur Tengah dan Amerika Syarikat (AS).
Malaysia perlu ambil kira diplomasi dan perdagangan, tumpu kestabilan ekonomi
Anwar Ibrahim semasa menghadiri Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang, Johor pada Ahad, 5 April 2026. / Facebook/Anwar Ibrahim
6 April 2026

Malaysia perlu mengamalkan pendekatan diplomasi bijaksana dalam mengemudi ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan dan harga komoditi, menurut laporan BERNAMA.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa meskipun negara kekal tegas dengan pendiriannya dalam isu antarabangsa, hubungan perdagangan dan ekonomi dengan kuasa besar dunia perlu diuruskan secara strategik demi kepentingan nasional.

Beliau menjelaskan, seni diplomasi telah membantu Malaysia berjaya mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai pihak, termasuk negara-negara Timur Tengah dan Amerika Syarikat (AS).

"Walaupun kita keras dalam menghadapi kejahatan-kejahatan Amerika Syarikat, kita mesti bijak supaya jangan terlalu bermusuh dan kita masih boleh ada jaringan bekerjasama (perdagangan).

"Dalam seni diplomasi, dan Kementerian Luar lebih handal dalam hal ini membantu kita...Jadi sementara kita tegas menyokong Iran, kita masih berdagang dengan AS...Sesetengah negara, dia nak suruh perang sahaja, ada yang tanya (Malaysia)...'you are with us or against us' (anda bersama kami atau sebaliknya)...No, it doesn't work that way (Tidak, ia bukan begitu) kita kena bijaksana," katanya semasa merasmikan Kolej Vokasional Pengerang di SMK Tanjung Pengelih pada Ahad.

Mengulas mengenai krisis tenaga global, Anwar mendedahkan bahawa hubungan diplomatik yang utuh membolehkan Malaysia menangani cabaran bekalan minyak dengan berkesan.

Hasil perbincangan beliau dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Malaysia berjaya mendapat pelepasan segera bagi tujuh buah kapal tangki milik negara yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz untuk meneruskan perjalanan mereka.

"Saya maklumkan kepada Presiden Iran, kapal kita masih tersangkut di Selat Hormuz dan ini sangat penting untuk kehidupan rakyat kita dan keperluan minyak dalam negara...Sebaik selepas panggilan itu, beliau arahkan supaya diberi laluan kepada kapal-kapal Malaysia dan Alhamdulillah ini bermakna hubungan (diplomasi) itu harus baik," katanya, katanya.

Anwar tidak menafikan bahawa konflik di Timur Tengah memberi impak besar kepada ekonomi global, termasuk lonjakan harga minyak, kos logistik yang tinggi dan gangguan rantaian bekalan.

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana situasi di Malaysia masih jauh lebih stabil berbanding beberapa negara jiran yang terpaksa mengambil tindakan drastik seperti menutup ratusan stesen minyak atau berdepan harga bahan api, mencecah lebih RM10 seliter.

Katanya, kerajaan MADANI kekal komited untuk menangani cabaran ini melalui langkah-langkah strategik, termasuk cadangan daripada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Di tengah-tengah kenaikan kos baja, bahan kimia dan insurans perkapalan, Malaysia akan terus menggunakan kedudukan geopolitiknya sebagai alat diplomasi untuk memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat kekal terpelihara, tambahnya.