DUNIA
2 min membaca
Malaysia sambut baik hasrat Türkiye jadi rakan dialog ASEAN
Presiden Erdogan menyuarakan keyakinan sasaran perdagangan dua hala dengan Malaysia sebanyak AS$10 bilion (RM40.88 bilion) mampu dicapai melalui kerjasama ekonomi yang lebih erat.
Malaysia sambut baik hasrat Türkiye jadi rakan dialog ASEAN
Duta Besar Malaysia ke Türkiye Adlan Mohd Shaffieq menyerahkan Surat Tauliah beliau kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan. / Turkish Presidency

Malaysia menyokong aspirasi Türkiye untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN, kata Duta Besar Malaysia ke Türkiye Adlan Mohd Shaffieq, sambil menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh persahabatan dan perkongsian strategik dengan Republik itu, lapor BERNAMA.

Adlan berkata demikian ketika menyerahkan Surat Tauliah beliau kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden, Ankara.

Menurut kenyataan Kedutaan Malaysia di Ankara, Türkiye kini muncul sebagai rakan penting bagi Asia Tenggara.

Hubungan dinamik ini dipacu oleh penglibatan ekonomi yang kian berkembang, pandangan strategik yang selari, serta hubungan antara rakyat yang semakin kukuh.

Adlan turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh persahabatan dan perkongsian strategik dalam bidang utama seperti pertahanan, pendidikan dan industri halal.

"Malaysia dan Türkiye berkongsi hubungan istimewa yang dibina atas dasar kepercayaan, rasa hormat serta aspirasi bersama terhadap keamanan, kemakmuran dan pembangunan," kata Adlan dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut menambah: "Berdasarkan hubungan peribadi yang kukuh antara Presiden Erdogan dan Perdana Menteri Anwar, kita harus memanfaatkan visi bersama mereka untuk memperdalam kerjasama dalam semua sektor."

Sementara itu, Presiden Erdogan menyambut baik kehadiran Duta Besar Malaysia yang baharu dan menyuarakan keyakinan terhadap masa depan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Beliau optimis bahawa sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$10 bilion (RM40.88 bilion) mampu dicapai melalui kerjasama ekonomi yang lebih erat.

Dalam pertemuan tersebut, Adlan turut menyampaikan salam hormat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Presiden Erdogan.