Banjir Vietnam ragut 18 nyawa, Đà Nẵng catat kerosakan teruk

Đà Nẵng merupakan kawasan paling terjejas dengan mencatat tujuh kematian, empat orang masih hilang dan 21 tercedera.

Lebih 76,000 rumah dinaiki air, 50 runtuh atau dihanyutkan arus deras, manakala 94 lagi mengalami kerosakan teruk. / AP

Banjir besar yang melanda wilayah tengah Vietnam sejak awal minggu ini telah meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa atau dilaporkan hilang, manakala 22 cedera dan sekitar 90 kawasan kejiranan serta daerah masih ditenggelami air sedalam dua hingga tiga meter, menurut laporan Eleven Media yang memetik pihak berkuasa pada Khamis.

Đà Nẵng merupakan kawasan paling terjejas dengan mencatat tujuh kematian, empat orang masih hilang dan 21 tercedera.

Lebih 76,000 rumah dinaiki air, 50 runtuh atau dihanyutkan arus deras, manakala 94 lagi mengalami kerosakan teruk.

Ribuan ternakan dilaporkan mati lemas, sementara ratusan hektar sawah padi dan tanaman sayur musnah.

Kira-kira 6,185 anggota keselamatan termasuk tentera, pengawal sempadan, polis dan pasukan pertahanan awam telah digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat.

Seramai 15,900 penduduk daripada hampir 4,835 isi rumah telah dipindahkan dari kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh.

Di Thừa Thiên-Huế, dua maut dan dua lagi dilaporkan hilang dengan lebih 44,000 rumah ditenggelami air. Sebanyak 38 lokasi tanah runtuh dilaporkan, menyebabkan beberapa jalan utama masih tidak boleh dilalui.

Perkhidmatan kereta api turut terganggu, dengan laluan Văn Xá–Huế ditutup sementara dan beberapa tren penumpang antara Hà Nội, Đà Nẵng, Huế dan Bandar Hồ Chí Minh digantung operasi.

Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan hingga 4 November, khususnya dari Nghệ An hingga utara Quảng Trị. Walaupun paras sungai utama seperti Hương, Vu Gia–Thu Bồn dan Trà Khúc mula surut, paras air dijangka meningkat semula antara 2 hingga 4 November.