BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Nilai dagangan Malaysia dijangka cecah RM3 trilion tahun ini
Sebagai langkah ke hadapan, MATRADE kini memfokuskan usaha membantu syarikat tempatan, termasuk PMKS mempelbagaikan pasaran eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tertentu.
Nilai dagangan Malaysia dijangka cecah RM3 trilion tahun ini
Malaysia mencatat sejarah pada 2025 apabila jumlah perdagangan buat pertama kalinya melepasi paras RM3 trilion. (FAIL) / AP

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis bahawa prestasi perdagangan negara mampu mencecah RM3 trilion tahun ini, sekali gus mengulangi pencapaian luar biasa yang direkodkan pada tahun lalu, lapor Berita Harian.

Malaysia melakar sejarah pada tahun 2025 apabila jumlah perdagangan buat pertama kalinya melepasi paras RM3 trilion dengan mencatatkan nilai keseluruhan RM3.06 trilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, keyakinan itu disokong oleh unjuran pertumbuhan eksport antara tiga hingga lima peratus tahun ini, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan gangguan dalam perdagangan antarabangsa.

Sasaran ini mengambil kira cabaran semasa seperti kenaikan kos logistik dan gangguan rantaian bekalan.

"Jika mengikut sasaran asal, unjurannya memang lebih tinggi. Namun, mengambil kira krisis global yang berlaku ketika ini, kami melihat sasaran pertumbuhan eksport sekitar tiga hingga lima peratus adalah lebih sesuai dan realistik. Kami yakin sasaran itu masih mampu dicapai," katanya dalam satu temu bual bersama Berita Harian.

Sebagai langkah ke hadapan, MATRADE kini memfokuskan usaha membantu syarikat tempatan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mempelbagaikan pasaran eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tertentu.

Strategi ini penting sebagai pelan jangka panjang untuk memperkukuh daya tahan eksport negara sekiranya berlaku konflik di sesebuah wilayah.

"Kalau satu pasaran terkesan akibat konflik atau isu logistik, syarikat-syarikat kita masih ada peluang di pasaran lain. Ketika pandemik COVID-19 dulu banyak urusan perdagangan tidak dapat dilakukan secara fizikal. Jadi, kita belajar bahawa platform digital sangat penting untuk memastikan urusan eksport terus berjalan," jelas beliau.

Bagi menyokong usaha itu, MATRADE memperkasakan penggunaan platform Digital Perdagangan MADANI yang dilancarkan tahun lalu, di mana kira-kira 5,000 PMKS kini memanfaatkannya untuk berhubung dengan pembeli luar negara.

Mengenai konflik Timur Tengah, Abu Bakar berkata pendedahan perdagangan Malaysia adalah rendah iaitu sekitar tiga peratus, namun MATRADE terus memantau rapat isu kos penghantaran dan laluan logistik alternatif demi membantu pengeksport tempatan.