Malaysia perlu bertindak lebih agresif dan berani memperkukuh hubungan ekonomi dengan Rusia serta negara Asia Tengah yang berpotensi tinggi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim seperti dipetik laporan Berita Harian.
Menurut Anwar, langkah tersebut penting bagi memastikan rantaian pasaran domestik tidak ketinggalan di pentas global.
Perdana Menteri menegaskan, amalan lama yang terlalu berhati-hati dalam diplomasi antarabangsa ekoran faktor tekanan geopolitik luar kini perlu dikikis demi mengutamakan kepentingan ekonomi rakyat dan negara.
"Saya lihat beberapa bidang strategik memerlukan kita lebih ke depan, agresif, dan berani, meskipun sebelum ini kita terlalu berhati-hati disebabkan pertimbangan geopolitik tertentu.
“Jika kita perlahan, kita akan ketinggalan. Ini senario yang sangat membimbangkan," katanya dalam sidang media penutup lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan.
Anwar turut menarik perhatian mengenai kejayaan Rusia membangunkan sektor pertanian moden sehingga mampu mengurangkan kebergantungan kepada import dalam tempoh yang singkat selepas berdepan sekatan Barat.
Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Kementerian Ekonomi meneliti model berkenaan untuk disesuaikan di Malaysia.
Dalam bidang pendidikan dan teknologi tinggi, Perdana Menteri memaklumkan beliau sudah berbincang dengan Presiden Rusia Vladimir Putin mengenai penambahan peluang pengajian serta biasiswa untuk pelajar Malaysia, khususnya dalam bidang angkasa lepas, kecerdasan buatan (AI) dan digital.
Selain Rusia, Anwar turut menggesa Malaysia memberi perhatian serius kepada potensi ekonomi negara-negara Asia Tengah seperti Uzbekistan, Turkmenistan dan Kazakhstan yang kini mempunyai kekuatan ekonomi jauh lebih besar berbanding dahulu untuk memperluas jalinan kerjasama antarabangsa.

















