ASIA
2 min membaca
PM: Had bulanan BUDI95 dilaraskan sementara kepada 200 liter, harga kekal RM1.99 seliter
Manakala had siling bagi pekerja e-hailing dan sektor gig dikekalkan pada 800 liter, mengambil kira tuntutan kerja mereka.
PM: Had bulanan BUDI95 dilaraskan sementara kepada 200 liter, harga kekal RM1.99 seliter
Anwar berkata langkah ini kritikal bagi memastikan pengagihan yang adil dan mengelakkan ketirisan ratusan juta ringgit setiap bulan. (FAIL) / Reuters
16 jam yang lepas

Kerajaan mengumumkan pelarasan sementara kuota petrol BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan harga bahan api tersebut akan tetap dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter demi melindungi kebajikan rakyat.

Langkah proaktif itu diambil bagi menjamin kelangsungan bekalan tenaga susulan ketegangan konflik di Timur Tengah yang menjejaskan pasaran global.

Menurut beliau, data menunjukkan purata penggunaan rakyat adalah sekitar 100 liter, manakala hampir 90 peratus populasi menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, sekali gus bermakna majoriti besar pengguna tidak akan terkesan.

“Kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026. Dan langkah ini tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu. Maka untuk meringankan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter," jelas beliau dalam perutusan khas pada Jumaat.

Sementara itu, had siling bagi pekerja e-hailing dan sektor gig dikekalkan pada 800 liter mengambil kira tuntutan kerja mereka.

Dalam masa sama, kerajaan turut memperkenalkan had pembelian diesel baharu di Sabah dan Sarawak bagi mengekang aktiviti menyorok dan menyeludup subsidi ke luar negara.

Di bawah peraturan baharu di Borneo, kenderaan ringan dihadkan kepada 50 liter, kenderaan bawah tiga tan sebanyak 100 liter, manakala kenderaan melebihi tiga tan dihadkan kepada 150 liter bagi setiap transaksi.

Langkah ini, kata Anwar, kritikal bagi memastikan pengagihan yang adil dan mengelakkan ketirisan ratusan juta ringgit setiap bulan.

Tegas Perdana Menteri, penguatkuasaan lebih ketat akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atas subsidi yang diberikan.

“Saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa diambil untuk menjaga kepentingan ramai. Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat. Saya mohon pengertian dan kerjasama supaya dapat kita teruskan kerja untuk mengelak daripada ketirisan ini,” tambah Anwar.

SUMBER:TRT Global