Pemilik berdaftar yang mempunyai beberapa kenderaan diesel persendirian boleh memindahkan kelayakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) kepada maksimum tiga individu yang menggunakan kenderaan berkenaan, berkuat kuasa serta-merta, menurut Kementerian Kewangan Malaysia.
Kemudahan yang sebelum ini terhad kepada ahli keluarga terdekat kini diperluas kepada pengguna sebenar kenderaan, susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Malaysia 2026.
“Pemindahan kelayakan ini tidak membabitkan pertukaran hak milik kenderaan,” kata kementerian itu dalam kenyataan.
“Pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia mempunyai MyKad sah dan layak menerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang juga pengguna sebenar kenderaan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Penerima yang diluluskan boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli bahan api bersubsidi mengikut kelayakan bulanan masing-masing.
Jumlah pemindahan tertakluk kepada bilangan kenderaan diesel berdaftar, manakala pemilik mengekalkan kelayakan bagi kenderaan yang belum dipindahkan untuk kegunaan sendiri.
Bagi jip atau pikap yang layak, pemilik perlu terlebih dahulu memohon tambahan 100 liter sebulan, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
“Bagi setiap kenderaan yang layak, pemindahan hanya dibenarkan sekali,” kata kementerian itu.
Selepas diluluskan, kelayakan tidak boleh dipindahkan semula kepada pemilik atau individu lain kecuali dalam keadaan khusus, dan setiap penerima hanya boleh menerima pemindahan daripada seorang pemilik berdaftar.
Permohonan boleh dibuat melalui Portal BUDI MADANI atau di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Permohonan perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 haribulan untuk penggunaan mulai bulan berikutnya; permohonan sehingga 27 September akan diproses bagi penggunaan mulai 1 Oktober, tertakluk kepada semakan dan pengesahan data.






















