Hampir RM8 bilion lesap akibat penipuan dalam talian sejak 2020
Statistik bagi tempoh 2020 hingga 2025 merekodkan sebanyak 209,300 kes penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian mencecah RM7.97 bilion, didorong terutamanya oleh penipuan berkaitan telekomunikasi dan e-dagang.
Malaysia merekodkan hampir RM8 bilion kerugian akibat penipuan dalam talian dalam tempoh enam tahun sejak 2020, sekali gus mencerminkan skala jenayah kewangan yang semakin membimbangkan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata statistik bagi tempoh 2020 hingga 2025 merekodkan sebanyak 209,300 kes penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian mencecah RM7.97 bilion, didorong terutamanya oleh penipuan berkaitan telekomunikasi dan e-dagang.
“Angka ini menunjukkan ancaman serius dan semakin meningkat, dengan kesan kewangan serta sosial yang besar terhadap mangsa,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen pada Rabu (4 Feb).
Saifuddin berkata kes penipuan terbesar sepanjang tempoh itu melibatkan sebuah bank tempatan dengan kerugian RM203.8 juta yang direkodkan pada November tahun lalu, namun tidak melibatkan akaun pelanggan.
Polis telah menahan 47 individu, dengan tiga daripadanya didakwa di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan berkaitan akaun keldai, manakala selebihnya masih dalam siasatan.
Beliau berkata siasatan kes berkenaan sedang dimuktamadkan dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Bank Negara Malaysia.
Kes kedua terbesar pula melibatkan skim pelaburan yang tidak wujud, yang dilaporkan pada Februari tahun lalu, dengan kerugian dianggarkan sekitar RM40 juta.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, membabitkan tawaran pelaburan mata wang kripto dengan aset digital bernilai AS$6.4 juta (RM25.25 juta) dipindahkan ke beberapa dompet kripto, dan pengesahan transaksi masih dijalankan dengan agensi berkaitan.
Bagi membendung penipuan dalam talian, Saifuddin berkata kerajaan terus memperkukuh kerjasama strategik antara polis, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan agensi penguatkuasaan di dalam serta luar negara.
Selain itu, beliau berkata Putrajaya juga sedang meneliti pindaan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Katanya, ini bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan, selain meluaskan tindakan terhadap sindiket serta pemilik akaun keldai.