Thailand cari sumber minyak baharu, kurangkan kebergantungan pada Timur Tengah

Strategi ini termasuk mempercepatkan pengeluaran gas asli di Teluk Thailand dan mengoptimumkan Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) Thailand-Malaysia.

By
Bagi memastikan kelangsungan bekalan, Thailand kini memiliki simpanan minyak yang mampu bertahan sehingga 90 hari. (FAIL) / Reuters

Kerajaan Thailand mengarahkan Kementerian Tenaganya untuk mempercepatkan pencarian sumber bekalan minyak baharu dalam tempoh satu minggu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import dari Timur Tengah, lapor The Nation.

Langkah drastik itu diambil susulan kebimbangan terhadap penutupan Selat Hormuz yang berisiko menjejaskan rantaian bekalan tenaga global serta melonjakkan harga bahan api domestik akibat konflik yang semakin memuncak.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas berkata impak perang di Timur Tengah terhadap ekonomi Thailand setakat ini masih terkawal.

Bagaimanapun, data menunjukkan harga minyak mentah dan gas asli telah meningkat masing-masing sebanyak 12.9 peratus dan 6.8 peratus.

Pasaran saham tempatan (SET) turut menerima tempias dengan penyusutan mata yang ketara selain nilai mata wang Baht yang sedikit melemah.

Bagi memastikan kelangsungan bekalan, Thailand kini memiliki simpanan minyak yang mampu bertahan sehingga 90 hari.

Jumlah ini merangkumi simpanan mandatori undang-undang, stok operasi, serta minyak milik Thailand yang kini dalam proses penghantaran melalui Selat Hormuz.

Sekiranya bekalan dari Timur Tengah terputus sepenuhnya, Thailand masih mempunyai sumber alternatif yang tidak melalui laluan konflik tersebut untuk tempoh 60 hari.

Kementerian Tenaga kini sedang mempergiat rundingan dengan rakan dagang sedia ada di Amerika Syarikat, Afrika Barat, serta negara jiran seperti Malaysia.

Strategi ini termasuk mempercepatkan pengeluaran gas asli di Teluk Thailand dan mengoptimumkan Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) Thailand-Malaysia.

Kerajaan Thai juga mempertimbangkan kontrak tambahan dengan Malaysia bagi tujuan penjanaan elektrik untuk memastikan kestabilan bekalan kuasa negara.

Sebagai langkah perlindungan kepada rakyat, Dana Bahan Api Minyak akan digunakan sebagai mekanisme utama untuk mengawal harga runcit diesel pada paras 30 Baht seliter.

Jika harga minyak dunia melonjak sehingga AS$120 ke AS$130 setong, kementerian akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan pemotongan cukai eksais bagi mengurangkan beban kos sara hidup dan inflasi yang mencabar.

Walaupun akaun LPG mencatatkan defisit lebih 30 bilion Baht, kerajaan memberi jaminan untuk mengekalkan harga siling sehingga hujung Mac 2026 bagi membantu sektor isi rumah.

Bagi petrol pula, harga akan ditentukan oleh mekanisme pasaran, namun kerajaan Thai berkata ia bersedia untuk campur tangan sekiranya berlaku manipulasi harga atau margin pemasaran yang tidak munasabah oleh peniaga.

Sektor penjanaan elektrik juga dijangka berdepan cabaran apabila tarif elektrik bagi tempoh Mei hingga Ogos 2026 bakal diumumkan.

Kenaikan harga gas asli cecair (LNG) di peringkat global dijangka akan diserap ke dalam tarif baharu.

Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Kawal Selia Tenaga (ERC) sedang mempertimbangkan penggunaan dana lebihan daripada agensi utiliti elektrik untuk mengekalkan kadar tarif agar tidak membebankan pengguna.

Secara keseluruhannya, kerajaan Thailand bersiap sedia dengan pelbagai pelan luar jangka bagi menghadapi kemungkinan harga minyak mencecah AS$150 hingga AS$170 setong jika konflik berlarutan.

Rakyat Thai digesa untuk menggunakan sumber tenaga secara berhemah sementara pihak berkuasa terus memantau situasi geopolitik dunia demi memelihara kestabilan ekonomi negara.