Anutin nafi laporan Kemboja hantar semula senjata berat ke sempadan

Katanya, perjanjian damai Thai–Kemboja yang dimeterai di Malaysia menetapkan kedua-dua negara perlu menarik balik senjata berat dari kawasan sempadan.

(FAIL) Anutin mempersoalkan sumber laporan berkenaan, menegaskan beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak tentera. / Reuters

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menafikan laporan bahawa Kemboja telah menggerakkan semula senjata berat ke kawasan sempadan dengan Thailand atau menghalang operasi pembersihan periuk api oleh tentera Thai, lapor The Nation.

Anutin mempersoalkan sumber laporan berkenaan, menegaskan beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak tentera mengenai dakwaan tersebut.

Katanya, perjanjian damai Thai–Kemboja yang dimeterai di Malaysia menetapkan kedua-dua negara perlu menarik balik senjata berat dari kawasan sempadan.

“Jika benar mereka menggerakkan semula senjata berat, itu bermaksud mereka membatalkan perjanjian damai, dan kami akan bertindak sewajarnya,” katanya kepada media di Bangkok pada Isnin.

Mengulas dakwaan bahawa tentera Kemboja menghalang kerja membersihkan periuk api dan pemerhatian ASEAN di Sai Taku Pass, wilayah Buri Ram, Anutin menyifatkannya sebagai “terlalu jauh” untuk dianggap sebagai tindakan halangan.

Beliau menjelaskan bahawa tentera kedua-dua negara sentiasa berunding mengenai operasi pembersihan periuk api yang sedang dijalankan.

Menurutnya, beliau telah berbincang dengan Panglima Tentera Diraja Thailand Jeneral Ukrit Boontanon yang mengesahkan rundingan mengenai pengunduran senjata dan pembersihan periuk api masih diteruskan.

“Mungkin tidak semuanya berjalan lancar, tetapi matlamat kami jelas — kami tidak akan membiarkan sesiapa menghalang kerja ini,” katanya.

Anutin turut menjelaskan bahawa perjanjian damai berkenaan menetapkan empat syarat utama — pengunduran senjata, pembersihan periuk api, pembanterasan penipuan dalam talian, dan penyelesaian tuntutan kawasan sempadan.

Beliau menegaskan Kemboja juga sedang melaksanakan tanggungjawabnya di bawah syarat tersebut, sambil menambah bahawa pihak tentera Thailand sentiasa bersiap siaga mempertahankan kedaulatan negara.