Anwar gesa Pakistan, Afghanistan tenang susulan ketegangan di sempadan

Anwar menegaskan kepentingan mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog bagi mengelak konflik berpanjangan yang akan membuat rakyatnya sengsara, selain menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau itu.

Perbualan telefon antara Anwar Ibrahim dengan Shehbaz Sharif dan Mullah Mohammad Hassan Akhund. / Foto: FB Anwar Ibrahim / Other

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghubungi rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, serta Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund, lewat malam Sabtu bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap ketegangan yang semakin meningkat di sempadan kedua-dua negara.

Dalam perbualan telefon itu, Anwar menegaskan kepentingan mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog bagi mengelak konflik berpanjangan yang akan membuat rakyatnya sengsara, selain menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau itu.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap musibah banjir di Pakistan serta gempa bumi yang melanda timur Afghanistan baru-baru ini, sambil menekankan keperluan memperkukuh semangat persaudaraan Islam antara negara-negara tersebut.

“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan, serta komuniti antarabangsa, dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan, memperkukuh ukhuwah Islamiah dan menyokong segala inisiatif ke arah keamanan serta kestabilan serantau termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar,” kata Anwar dalam satu kenyataan di Facebook.

Menurut laporan baru-baru ini, Kementerian Luar Qatar, Pakistan dan Afghanistan telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas rundingan yang berlangsung di Doha.

Rundingan damai itu dimediasi oleh Qatar dan Türkiye, dalam usaha meredakan ketegangan yang berlanjutan di antara kedua-dua negara jiran itu.