Sudah dua tahun perang Israel ke atas Gaza, ahli ekonomi Amerika dan penasihat PBB Jeffrey Sachs mengutuk tindakan ganas Israel dengan menyatakannya sebagai "genosid berterusan".
Dalam wawancara dengan TRT World, Sachs berkata tragedi berdarah di Gaza mendedahkan kegagalan moral dan institusi yang mendalam dalam tatanan global. Beliau menyatakan, "Majoriti besar manusia mahu perang dihentikan dan wujudnya dua negara — sebuah negara Palestin dan sebuah negara Israel". "Terdapat dua negara yang menolaknya — Israel sendiri, yang bercita-cita untuk menguasai rantau ini dan rakyat Palestin, dan Amerika Syarikat, yang menyokong Israel hampir tanpa sebarang pengecualian dalam tempoh ini,".
Dua tahun selepas operasi 7 Oktober oleh Hamas, kumpulan penentang dari Palestin, Israel telah membunuh ribuan rakyat Palestin yang kebanyakkannya wanita dan kanank-kanak ketika Gaza dimusnahkan.
Kumpulan hak asasi dan agensi PBB telah berulang kali memberi amaran kebuluran dan kemusnahan infrastruktur awam secara sistematik.
Sachs menyifatkan malapetaka itu telah mencapai tahap genosid. "Hasilnya adalah genosid yang berterusan — ratusan ribu orang kelaparan, ada yang mati kelaparan pada masa ini, dan Israel terus membunuh rakyat Palestin dalam jumlah yang mengejutkan dari sehari ke sehari," katanya.
Beliau menyalahkan Washington kerana berulang kali menghalang usaha PBB untuk menghentikan perang.
"Amerika Syarikat telah menyekat semua resolusi di Majlis Keselamatan PBB yang boleh menyebabkan Majlis tersebut melaksanakannya," tegas Sachs. "Oleh itu, ini mesti dilaksanakan oleh Perhimpunan Agung PBB.
Pemikiran kolonial
Sachs juga mengkritik cadangan gencatan senjata dan rancangan damai Gaza yang dicadangkan oleh Presiden AS Donald Trump, yang dilancarkan minggu lalu bersama-sama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu — satu langkah yang telah menarik perhatian global dan sokongan berhati-hati daripada beberapa negara, termasuk Turkiye.
Walaupun rancangan 20 titik Trump untuk menamatkan perang di Gaza termasuk peruntukan untuk gencatan senjata, bantuan kemanusiaan, pertukaran tahanan dan pelucutan senjata Hamas akhirnya, Sachs memberi amaran bahawa ia mencerminkan "pemikiran kolonial" dan bukannya usaha yang tulen ke arah penentuan nasib sendiri Palestin.
"Jika anda membacanya dengan teliti, ia mempunyai banyak benda yang baik, tetapi ia juga adalah dokumen yang sangat kolonial," kata Sachs. "Pada akhirnya, Donald Trump mahu mempengerusi jawatankuasa untuk mentadbir Gaza. Ini tak masuk akal."
Rancangan Trump juga mencadangkan penubuhan "Lembaga Keamanan," yang akan dipengerusikan oleh presiden AS sendiri. Trump memberitahu pemberita bahawa lembaga itu juga akan termasuk "pemimpin yang sangat terkemuka" dari negara lain – antaranya, bekas Perdana Menteri British Tony Blair, satu-satunya individu yang dinamakan secara jelas dalam rancangan itu selain Trump.
"Rakyat Palestin sangat berbakat — terdapat ramai profesional Palestin di seluruh dunia. Tidak perlu ada tempoh jagaan oleh kuasa-kuasa kolonial Barat — apatah lagi Tony Blair, demi Tuhan, untuk duduk dalam lembaga mentadbir Palestina," kata Sachs.
Sebaliknya, beliau menyeru untuk pengiktirafan serta-merta dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, "ditadbir oleh rakyat Palestin, hidup dalam keamanan berdampingan dengan Israel."
Kepujian untuk ‘diplomasi cekap’ Turkiye
Sejurus selepas pengumuman rancangan damai Gaza pada Isnin lepas, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan memuji inisiatif diplomatik Trump "yang bertujuan menghentikan pertumpahan darah di Gaza dan mencapai gencatan senjata," sambil menekankan bahawa Ankara "akan terus menyokong proses yang bertujuan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan yang boleh diterima semua pihak."
Bagaimanapun, semasa panggilan telefon dengan Trump pada hari Jumaat, Erdogan mengingatkan bahawa pemberhentian serangan Israel kekal penting untuk sebarang usaha sebenar mencapai keamanan di rantau ini.
Para penganalisis menyatakan bahawa sokongan Erdogan terhadap rancangan gencatan senjata Trump tidak bermaksud kelulusan terhadap nada kolonialnya — suatu kebimbangan yang turut disuarakan oleh Sachs dan banyak suara di Selatan Global.
Kenyataan Sachs, sebenarnya, mengukuhkan kedudukan Turkiye sebagai "kuasa bebas" yang memperjuangkan "keamanan dan keadilan yang saksama," dan bukannya peserta pasif dalam rangka kerja pimpinan Barat.
Sachs, yang lama memperjuangkan kerjasama pelbagai kutub dan reformasi PBB, memuji pengaruh global dan peranan diplomatik Turkiye yang semakin berkembang — terutamanya dalam menguruskan konflik seperti Ukraine dan Gaza.
"Turkiye adalah negara yang sangat penting," kata Sachs. "Presiden Erdogan mempunyai suara yang sangat penting dalam hal ehwal dunia dan suara yang sangat penting dalam diplomasi global."
Menyebut pengantaraan Ankara dalam perundingan damai Ukraine-Rusia dahulu, Sachs memberi penghargaan kepada Turkiye atas "diplomasi cekap" mereka dan berkata keamanan mungkin telah tercapai bertahun-tahun lebih awal jika Washington tidak menghalang proses tersebut.
"Dengan perang Ukraine, sebagai contoh, Turkiye yang menganjurkan perundingan antara Ukraine dan Rusia dan melakukannya dengan sangat berbisa — sehingga Amerika Syarikat menghalang perundingan tersebut. Sekiranya Amerika Syarikat tidak menghalangnya, sudah tentu keamanan di Ukraine telah tercapai, lebih daripada tiga tahun yang lalu," katanya.
Beliau menambah bahawa Turkiye "memainkan peranan utama dalam usaha menamatkan malapetaka semasa iaitu perang Israel ke atas Gaza," sambil menekankan hubungan serantau dan global Ankara yang meluas.