BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Pinjaman bank kekal stabil, permintaan isi rumah perlahan pada Julai
Permohonan dan kelulusan pinjaman perniagaan masing-masing melonjak 37.7 peratus dan 51.9 peratus, dengan kadar kelulusan kekal kukuh pada 65.2 peratus.
Pinjaman bank kekal stabil, permintaan isi rumah perlahan pada Julai
(FAIL) Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan Malaysia dilaporkan kekal stabil pada Julai. / Reuters

Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan Malaysia kekal stabil pada Julai, disokong peningkatan pembiayaan perniagaan, namun permintaan dalam kalangan isi rumah masih sederhana, menurut laporan New Straits Times.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata pertumbuhan keseluruhan pinjaman kekal pada 5.6 peratus tahun ke tahun, manakala pinjaman perniagaan meningkat 7.5 peratus, diterajui sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Permohonan dan kelulusan pinjaman perniagaan masing-masing melonjak 37.7 peratus dan 51.9 peratus, dengan kadar kelulusan kekal kukuh pada 65.2 peratus.

Sebaliknya, permohonan pinjaman isi rumah hanya meningkat 1.7 peratus, manakala kadar kelulusan susut 2.6 peratus.

Kualiti aset sektor perbankan turut kekal berdaya tahan, dengan pinjaman terjejas kasar (GIL) keseluruhan berada pada 1.43 peratus bagi bulan ketiga berturut-turut.

“GIL isi rumah bertambah baik kepada 1.10 peratus, manakala GIL perniagaan kekal stabil pada 1.91 peratus, menunjukkan tiada tanda tekanan baharu walaupun momentum kredit perniagaan semakin kukuh,” kata HLIB.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menganggarkan purata jurang kadar faedah industri mengecil kepada 2.35 peratus daripada 2.37 peratus setahun lalu, tetapi meningkat berbanding 2.32 peratus pada Jun.

“Kami menjangkakan margin faedah bersih kekal secara umumnya stabil kerana kos pembiayaan yang semakin rendah dijangka mengimbangi penyusutan hasil,” katanya.

HLIB mengekalkan saranan “Neutral” terhadap sektor perbankan, manakala PublicInvest mengekalkan penarafan “Overweight”, disokong hasil dividen menarik, pertumbuhan pinjaman yang berterusan, kualiti aset stabil dan kecairan yang mencukupi.