ASIA
2 min membaca
Mesyuarat SOM, CPR bermula hari ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
Mesyuarat yang dijadualkan berlangsung sehingga petang ini akan menjadi landasan kepada perbincangan peringkat menteri yang bermula esok, sebelum majlis pembukaan rasmi disempurnakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Mesyuarat SOM, CPR bermula hari ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
(FAIL) Bertemakan ‘Inklusiviti dan Kelestarian’, sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok ASEAN. / Reuters
23 Oktober 2025

Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan sesi persiapan berkaitan bermula pada Khamis, sekali gus membuka tirai kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Okt ini, lapor Bernama.

Mesyuarat yang dijadualkan berlangsung sehingga petang ini akan menjadi landasan kepada perbincangan peringkat menteri yang bermula esok, sebelum majlis pembukaan rasmi disempurnakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Turut diadakan secara serentak ialah Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN (CPR) yang disertai Duta Timor-Leste ke ASEAN, Natércia Cipriana Coelho da Silva serta Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) Astanah Abdul Aziz.

Mesyuarat CPR akan menilai kemajuan tiga tonggak utama ASEAN — politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya — serta menyelaras hasil untuk dibentang pada minggu sidang kemuncak.

Pada sebelah malam, Mesyuarat Bersama SOM-SEOM ASEAN dan Majlis Makan Malam Rasmi akan dihoskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar merangkap Ketua SOM ASEAN Malaysia Amran Mohamed Zin yang turut dihadiri oleh pemimpin SOM ASEAN, pemimpin SOM Timor-Leste dan DSG APSC.

Bertemakan ‘Inklusiviti dan Kelestarian’, sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok ASEAN — menjadi wadah penting bagi memperkukuh kerjasama serantau dan menangani cabaran global secara menyeluruh.

Timor-Leste turut dijangka menyertai secara rasmi sebagai anggota ke-11 ASEAN pada 26 Okt ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata pihak polis telah menggerakkan operasi keselamatan terbesar tahun ini melibatkan 10,170 anggota bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sidang kemuncak.

Liputan keselamatan merangkumi lokasi strategik termasuk KLCC, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta hotel rasmi yang menempatkan para delegasi antarabangsa.