Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan warga asing ke negara ini, termasuk pihak yang melindungi atau bersubahat dengan jenayah berkenaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ketegasan itu perlu demi memastikan keselamatan negara serta kedaulatan sempadan Malaysia terus terpelihara daripada sebarang ancaman.
Kenyataan itu dibuat susulan kematian pegawai risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, yang terkorban ketika cuba menghalang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.
Menerusi hantaran di platform Facebook, Anwar menegaskan bahawa nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dipertaruhkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, pemergian Mohd Roshaimi amat menyentuh perasaannya dan pada masa sama melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak yang mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.
"Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan ini berlalu begitu sahaja," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pasukan penguatkuasaan supaya bertindak tegas dan tanpa kompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara.
Anwar turut menegaskan bahawa mana-mana individu atau pihak yang membiarkan kedaulatan negara dicabuli perlu dibawa ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.
Beliau bersama isteri Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Roshaimi serta mendoakan agar mereka dikurniakan kesabaran dan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan dan simpati kepada seluruh warga APMM yang kehilangan seorang rakan seperjuangan ketika mempertahankan keselamatan perairan negara.
Mohd Roshaimi, 41, maut manakala tiga lagi rakannya cedera selepas bot peronda yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ketika mengejar sebuah bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin di perairan Sungai Padang, Perlis.





















