Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim terus mempergiat usaha diplomasi antarabangsa bagi meredakan ketegangan di Asia Barat melalui siri perbualan telefon bersama pemimpin Indonesia, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan New Zealand.
Dalam perbincangan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kedua-dua pemimpin senada menggesa agar pendekatan diplomasi diutamakan bagi mengelakkan konflik Iran-Israel daripada terus meruncing.
“Kami bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan saya untuk berkunjung ke Jakarta sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat,” kata Anwar dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menzahirkan keprihatinan mendalam, Anwar turut berhubung dengan Putera Mahkota Bahrain dan Presiden UAE bagi bertukar pandangan mengenai situasi semasa yang kian meruncing.
Selain menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat serangan balas yang berlaku, beliau menegaskan bahawa dialog dan kerjasama erat antara negara adalah satu-satunya jalan keluar demi mengembalikan kestabilan serantau dan memenuhi tuntutan kemanusiaan sejagat.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon.
Beliau menegaskan pendirian Malaysia yang mengecam sebarang serangan ketenteraan terhadap Iran serta menolak tindakan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia kekal menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam, serta kembalinya semua pihak ke meja rundingan melalui saluran diplomasi,” kata Anwar.
Perbincangan tersebut turut menyentuh impak ekonomi global, terutamanya tekanan terhadap sektor tenaga dan peningkatan harga bahan api yang kini dihadapi New Zealand.
Anwar menyambut baik langkah proaktif kerajaan New Zealand dalam memperkukuh keselamatan tenaga dan beralih kepada tenaga boleh baharu, sambil menyatakan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama di bawah kerangka Perkongsian Strategik dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
“Dalam masa yang sama, kami menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama tenaga. Kami akan terus berhubung rapat dalam mendepani cabaran semasa demi kepentingan bersama,” tambahnya lagi.












