ASIA
2 min membaca
Malaysia, India desak konflik Asia Barat dihentikan segera
Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan diplomasi dan dialog yang sihat sebagai jalan tunggal bagi mengembalikan keamanan sejagat dan mengelakkan pertumpahan darah berterusan.
Malaysia, India desak konflik Asia Barat dihentikan segera
Selain isu konflik, Malaysia dan India juga menyuarakan komitmen untuk memperkukuh suara kolektif di peringkat antarabangsa. / Foto: FB Anwar Ibrahim / Other
12 jam yang lepas

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menerusi satu perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di Asia Barat yang kian meruncing, terutamanya ketika umat Islam sedang menjalani ibadah di bulan Ramadan.

Dalam perbincangan tersebut, Malaysia menegaskan pendirian konsisten yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan dan pembantaian rejim Israel ke atas Iran.

Malaysia menyifatkan serangan tersebut sebagai satu pencabulan yang memburukkan lagi kestabilan rantau berkenaan.

“Kami sepakat untuk menyeru kepada penghentian segera pertempuran serta menggembleng usaha untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog yang sihat,” kata Anwar dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan diplomasi dan dialog yang sihat sebagai jalan tunggal bagi mengembalikan keamanan sejagat dan mengelakkan pertumpahan darah berterusan.

Selain isu konflik, Malaysia dan India juga menyuarakan komitmen untuk memperkukuh suara kolektif di peringkat antarabangsa.

Kerjasama strategik itu akan diperkasakan menerusi platform utama seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan blok ekonomi BRICS bagi memastikan aspirasi negara membangun terus didengari.

“Kami turut sepakat bahawa Malaysia dan India mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS,” tambah Anwar.

Menurut perdana menteri, langkah itu dilihat semakin mendesak semasa dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan langsung kepada aspek keterjaminan makanan.

Kerjasama padu antara Kuala Lumpur dan New Delhi dianggap kritikal dalam mendepani cabaran ekonomi yang kian mencabar ini, tambahnya.

Di penghujung perbualan, kedua-dua pemimpin saling mendoakan kesejahteraan rakyat masing-masing sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, sambil memperbaharui iltizam untuk terus bekerjasama demi kestabilan dan keamanan dunia.

SUMBER:TRT Global