ASIA
2 min membaca
Perbandingan Harga Minyak ASEAN
Berdasarkan data daripada Pejabat Dasar dan Perancangan Tenaga (EPPO) di bawah Kementerian Tenaga Thailand, purata harga bahan api ASEAN setakat 2 April menunjukkan jurang yang agak besar antara negara anggota.
Perbandingan Harga Minyak ASEAN
Purata harga bahan api ASEAN setakat 2 April menunjukkan jurang yang agak besar antara negara-negara anggota. (FAIL) / Reuters
9 jam yang lepas

Syarikat peruncit utama Thailand, PTT Oil and Retail Business Plc (OR) dan Bangchak Corporation Plc (BCP), telah mengumumkan kenaikan harga petrol dan bahan api alternatif gasohol sebanyak 0.70 baht seliter bermula 3 April, lapor The Nation.

Manakala, harga diesel menyaksikan lonjakan lebih ketara iaitu sebanyak 3.50 baht seliter, dengan diesel premium meningkat 4 baht seliter.

Persoalan utama kini timbul mengenai kedudukan harga pam di Thailand berbanding negara-negara jiran di rantau ASEAN.

Berdasarkan data daripada Pejabat Dasar dan Perancangan Tenaga (EPPO) di bawah Kementerian Tenaga Thailand, purata harga bahan api ASEAN setakat 2 April menunjukkan jurang yang agak besar antara negara anggota.

Bagi kategori petrol, Singapura kekal menduduki carta teratas dengan harga 86.16 baht (RM10.65) seliter, diikuti oleh Myanmar (77.36 baht / RM9.56) dan Laos (61.55 baht / RM7.61).

Thailand berada di kedudukan pertengahan pada harga 43.25 baht (RM5.35) seliter, manakala Malaysia (31.33 baht / RM3.87) untuk harga tanpa subsidi, Vietnam (30.14 baht / RM3.73), Indonesia (24.87 baht / RM3.07), dan Brunei (13.46 baht / 1.66) menawarkan harga yang jauh lebih rendah.

Untuk rekod, Malaysia mengekalkan harga petrol bersubsidi untuk rakyat di bawah inisiatif BUDI95 pada harga RM1.99 seliter.

Situasi hampir sama dilihat bagi harga diesel, di mana Singapura sekali lagi mencatatkan harga tertinggi pada 107.20 baht (RM13.25) seliter.

Thailand berada di tangga ketujuh dengan harga 44.24 baht (RM5.47) seliter, sedikit lebih tinggi berbanding Vietnam (44.16 baht / RM5.46) namun masih jauh di belakang Brunei yang mengekalkan harga subsidi paling rendah iaitu 7.87 baht (RM0.97) seliter.

Menurut EPPO, perbezaan harga di setiap negara dipengaruhi oleh beberapa faktor utama, termasuk struktur cukai yang berbeza serta mekanisma kutipan dana atau subsidi tenaga.

Kebanyakan negara jiran masih menyediakan subsidi bahan api yang besar bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat mereka.

Di Thailand, kerajaan menyokong penggunaan gasohol melalui Dana Bahan Api Minyak, yang menyebabkan harga gasohol biasanya lebih murah daripada petrol biasa.

Kadar pertukaran dan harga yang digunakan adalah berdasarkan rujukan pada 2 April 2026, kecuali bagi Myanmar, Laos, Kemboja, dan Vietnam yang menggunakan rujukan pasaran antarabangsa.