Konflik Selat Hormuz: 2 kapal Malaysia dalam perjalanan pulang, 5 masih terkandas

Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil mengesahkan perkembangan itu namun memaklumkan bahawa lima lagi kapal Malaysia masih berada di perairan yang terjejas akibat konflik di Asia Barat tersebut.

By
Menurut Fahmi Fadzil, kerajaan terus memantau situasi terkini di Selat Hormuz yang merupakan laluan kritikal bagi penghantaran minyak mentah global. / Screenshot

Salah satu daripada dua kapal milik Malaysia yang membawa bekalan bahan api dan sebelum ini terkandas di Selat Hormuz dijangka tiba di tanah air pada 17 April ini.

Manakala sebuah lagi kapal dilaporkan akan menyusul pada minggu depan, sekali gus memberikan sedikit kelegaan terhadap rantaian bekalan tenaga negara.

Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil mengesahkan perkembangan itu namun memaklumkan bahawa lima lagi kapal Malaysia masih berada di perairan yang terjejas akibat konflik di Asia Barat tersebut.

Situasi ini, katanya, terus dipantau rapi memandangkan Selat Hormuz merupakan laluan kritikal bagi penghantaran minyak mentah global.

"Pada waktu ini dimaklumkan terdapat dua kapal sedang dalam perjalanan. Satu dijangka tiba pada 17 April, manakala satu lagi mungkin minggu yang berikutnya. Terdapat lima kapal yang masih lagi berada di Selat Hormuz,” kata Fahmi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa enam daripada tujuh kapal Malaysia sudah mendapat kelulusan dan hanya menunggu giliran untuk belayar melepasi selat berkenaan.

Dengan pergerakan kapal-kapal ini, bekalan minyak untuk bulan ini dan Mei dijangka kekal berada dalam keadaan terkawal meskipun berdepan tekanan geopolitik.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri sedang meneliti langkah alternatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import.

Kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15, yang akan dimulakan dengan adunan B12 sebagai fasa peralihan.

Langkah strategik itu akan dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang kos tambahan daripada pihak kerajaan.

Dengan memanfaatkan infrastruktur pengadunan biodiesel sedia ada, inisiatif ini dilihat mampu memperkukuh keselamatan tenaga negara serta menstabilkan pasaran domestik daripada sebarang gangguan bekalan luar jangka.