Syarat mesyuarat sempadan dengan Kemboja belum dipenuhi – jurucakap Kementerian Luar Thai
Katanya, ini mengambil kira status kerajaan sementara Thailand serta kewujudan periuk api, sekali gus menjadikan kawasan sempadan masih tidak selamat.
Jurucakap Kementerian Luar Thai Nikorndej Balankura berkata Thailand berpandangan tidak semua syarat sudah dipenuhi untuk mengadakan mesyuarat Joint Boundary Commission (JBC) dengan Kemboja, menurut laporan Xinhua.
Katanya, ini mengambil kira status kerajaan sementara Thailand serta kewujudan periuk api, sekali gus menjadikan kawasan sempadan masih tidak selamat.
Dalam sidang media pada Selasa, beliau berkata pihak Kemboja sebelum ini mencadangkan supaya mesyuarat JBC diadakan sebelum mesyuarat luar biasa menteri-menteri luar ASEAN.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu dinilai semula berdasarkan keadaan semasa.
Menurut Nikorndej, status kerajaan sementara bermakna Thailand mungkin tidak berada dalam kedudukan yang sesuai untuk melantik wakil yang sewajarnya untuk menyertai perbincangan berkaitan penetapan sempadan.
Selain itu, kewujudan sejumlah besar periuk api di kawasan sempadan juga menghalang kedua-dua pihak daripada menjalankan tinjauan atau kerja-kerja penandaan sempadan.
Beliau menegaskan mekanisme pembersihan periuk api yang jelas dan tepat perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum sebarang mesyuarat JBC boleh diadakan.
Sementara itu, Kemboja telah menghantar nota diplomatik yang mencadangkan mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kemboja–Thailand mengenai penandaan sempadan darat diadakan pada minggu pertama Januari 2026 di Siem Reap, menurut kenyataan Sekretariat Negara Hal Ehwal Sempadan Kemboja pada Isnin.