Myanmar bersetuju membawa pulang 5,000 pelariannya dari Malaysia menggunakan kapal, kata Menteri Luar Mohamad Hasan, yang turut menuntut agar keselamatan mereka dapat dipastikan selepas kembali ke negara itu, menurut laporan Berita Harian.
Mohamad berkata persetujuan itu disampaikan oleh rakan sejawatnya dari Myanmar dalam pertemuan baru-baru ini, manakala 5,000 pelarian terbabit sudah dikenal pasti.
“Ketika saya bertemu Menteri Luar yang baharu di Myanmar, mereka menyatakan kesediaan membawa pulang 5,000 pelarian dengan kapal. Tetapi isunya adalah keselamatan 5,000 pelarian ini. Kita tegaskan apakah mereka selamat apabila dihantar balik dan apa akan terjadi kepada mereka,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari ASEAN ke-59 di Wisma Putra, pada Isnin.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri sedang meneliti perkara tersebut, termasuk urusan berkaitan penghantaran pulang, manakala Kementerian Luar hanya bertindak sebagai pemudah cara.
Mohamad tidak mendedahkan pihak yang akan menanggung kos operasi berkenaan, tetapi menegaskan proses itu perlu dilaksanakan segera selepas rundingan berkaitan dimuktamadkan.
Beliau turut menjelaskan kumpulan berkenaan tidak hanya membabitkan etnik Rohingya, sebaliknya pelarian daripada pelbagai etnik Myanmar, termasuk Chin.
“Dalam ASEAN, kita sama-sama melihat isu pelarian seperti di Myanmar ini perlu diatasi bersama,” katanya.
Mohamad berkata Konsensus Lima Perkara (5PC) perlu kekal menjadi mekanisme utama ASEAN dalam menangani krisis Myanmar, termasuk sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan.
Pelan damai itu antara lain menuntut keganasan dihentikan dengan segera, dialog antara semua pihak diadakan, pelantikan wakil khas ASEAN, penyaluran bantuan kemanusiaan serta lawatan wakil khas ke Myanmar untuk bertemu pihak berkepentingan.
“Kita mahu 5PC kekal jadi teras mekanisme ASEAN terhadap Myanmar dan kerajaan Myanmar memenuhi hasrat ketua negara ASEAN kerana konsensus itu ditandatangani serta dipersetujui semua, termasuk pemimpin Myanmar ketika itu,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelariannya dari Malaysia hasil rundingan diplomatik antara kedua-dua negara.



















