Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG) Filipina memperkenalkan Penjara Baharu Quezon City di Payatas bagi menempatkan ahli politik dan pegawai kerajaan yang bakal didakwa berhubung skandal kawalan banjir bernilai berbilion peso, lapor The Inquirer.
Setiausaha DILG Jonvic Remulla yang meninjau kemudahan tersebut pada Isnin berkata, lokasi penjara itu dipilih kerana paling hampir dan “paling sesuai” dengan Mahkamah Anti-Rasuah Sandiganbayan.
Dalam sidang media sebelum lawatan itu, Remulla menjelaskan penjara berkenaan mempunyai 80 bilik kosong yang mampu menampung 10 banduan setiap satu.
Ia turut dilengkapi bilik air, pancuran mandi, tandas, air minuman bertapis, kawasan senaman dan ruang khas untuk tahanan bertemu peguam mereka.
Beliau berkata, pelawat dibenarkan membawa makanan masak dan dibungkus lima kali seminggu kecuali pada Isnin dan Jumaat.
Namun, penggunaan telefon bimbit, tablet dan sebarang alat komunikasi dilarang sama sekali, kecuali satu talian tetap yang hanya boleh digunakan dengan kebenaran pegawai penjara.
“Peraturan penjara ini terpakai kepada yang kaya mahupun miskin,” tegas Remulla. “Kalau pencuri RM8 di pasar ditahan di sini, mereka yang mencuri berbilion peso juga patut ditahan di tempat yang sama.”
Menurut beliau, tuduhan pertama dalam skandal kawalan banjir itu dijangka difailkan dalam tempoh tiga minggu akan datang, dengan sekurang-kurangnya 200 individu bakal berdepan pertuduhan.










