Mantan Perdana Menteri Najib Razak disahkan bertindak sehaluan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, untuk menyeleweng berbilion ringgit dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menurut laporan New Straits Times.
Menerusi alasan penghakiman setebal 810 halaman, Hakim Mahkamah Persekutuan Collin Lawrence Sequerah menyifatkan skandal kewangan berskala global itu dirancang secara teliti melalui tipu helah Jho Low yang bertindak sebagai proksi Najib.
Dalam penghakiman tersebut, Sequerah menegaskan bahawa penyelewengan itu bukan satu kebetulan, tetapi terdapat bukti jelas hubungan rapat mereka berdua di mana aliran dana melalui beberapa lapisan akhirnya masuk ke dalam akaun peribadi Najib.
Beliau turut menolak pembelaan Najib yang mendakwa dirinya tidak sedar akan salah laku tersebut disebabkan latar belakang akademik dan pengalaman luasnya dalam pentadbiran negara.
"Mereka bekerja berganding bahu untuk membentuk rangkaian penipuan yang kompleks dan teliti melalui siri transaksi yang menyebabkan dana diseleweng daripada 1MDB... Sebarang usaha untuk menggambarkan tertuduh sebagai seorang yang jahil dan tidak menyedari salah laku yang berlaku di sekelilingnya adalah gagal sama sekali," kata Sequerah dalam dokumen penghakiman itu.
Malah, hakim menyifatkan skala rompakan dana tersebut adalah sangat besar sehingga membuatkan penakluk terkenal dalam sejarah dunia, Attila the Hun, "kelihatan seperti seorang budak koir (choirboy).”
Skandal penyelewengan ini dilaporkan melibatkan liabiliti mencecah hampir RM50 bilion, dengan kira-kira RM42 bilion daripadanya terpaksa ditanggung oleh kerajaan, sekali gus memberi kesan berpanjangan kepada generasi masa hadapan.
Mahkamah turut menekankan bahawa Najib langsung tidak menunjukkan sebarang rasa kesal atas impak skandal yang menjejaskan reputasi negara itu, sebaliknya memilih untuk meletakkan kesalahan kepada pihak pengurusan 1MDB.
"Kemarahan awam (terhadap penyelewengan ini) perlu dilihat dalam hukuman yang dijatuhkan, memandangkan skala kesalahan dan reputasi negatif yang dibawanya kepada negara. Mahkamah juga mesti mempertimbangkan bahawa tertuduh tidak menunjukkan atau memamerkan sebarang rasa kesal atas kesalahan yang dilakukan," tegas beliau.
Pada 26 Disember tahun lalu, Najib telah dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM13.4 bilion selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Beliau berdepan tambahan hukuman penjara 40 tahun lagi jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
















