Anwar tiba di Türkiye untuk lawatan rasmi tiga hari, perkukuh kerjasama strategik dua hala
Kemuncak lawatan ialah Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi Malaysia–Türkiye (HLSC) yang julung kali diadakan, dipengerusikan bersama oleh Anwar dan Erdogan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Türkiye pada Selasa bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari sehingga 8 Januari, bertujuan memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, lapor Bernama.
Lawatan itu dibuat atas undangan Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan.
Pesawat khas yang membawa Anwar, isterinya Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada jam 7.13 malam waktu tempatan.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.
Pada hari pertama lawatan, Anwar menghadiri majlis Sentuhan Kasih Madani bersama komuniti diaspora Malaysia di Ankara.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan hubungan peribadinya dengan Erdogan sebagai erat, sambil menegaskan pertemuan rasmi dijadual akan memberi tumpuan kepada kerjasama perdagangan, pelaburan, diplomasi, pendidikan, keselamatan, budaya dan pelancongan.
Kemuncak lawatan ialah Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi Malaysia–Türkiye (HLSC) yang julung kali diadakan, dipengerusikan bersama oleh Anwar dan Erdogan.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Türkiye Sazali Mustafa Kamal mesyuarat itu akan menjadi platform utama membincangkan kerjasama strategik yang merangkumi perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, tenaga, semikonduktor, kesihatan, pendidikan dan hubungan antara rakyat.
Kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) penting, termasuk dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, pelaburan, perbankan eksport-import, penyelidikan strategik serta perolehan sebuah kapal misi pelbagai guna.
Anwar turut dijadual mempengerusikan sesi meja bulat perniagaan dengan kira-kira 40 syarikat Türkiye bagi meneroka peluang ekonomi baharu.
Selain itu, Anwar akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Türkiye” kepada golongan profesional, ahli akademik, pegawai kanan Türkiye dan pelajar.
Beliau juga dijadual melawat Istanbul serta mengadakan sesi libat urus media bagi menggariskan hala tuju hubungan Malaysia–Türkiye.
Sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala, Anwar akan dianugerahkan Order of the Republic, anugerah tertinggi Türkiye kepada pemimpin asing, yang akan disampaikan oleh Erdogan.
Anugerah itu melambangkan pengiktirafan Ankara terhadap sumbangan Anwar dalam merapatkan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Dari segi ekonomi, Wisma Putra memaklumkan jumlah dagangan Malaysia–Türkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion, manakala pada 2024 Türkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat.