PERANG GAZA
6 min membaca
Dua tahun genosid Israel di Gaza: Rakyat Palestin kelaparan, ditutup mulut dan dikhianati
Kebuluran, pengusiran, penapisan maklumat, dan tindakan dunia bersubahat menjadi apa yang digambarkan oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai "satu kes pembunuhan beramai-ramai yang sempurna."
Dua tahun genosid Israel di Gaza: Rakyat Palestin kelaparan, ditutup mulut dan dikhianati
Rakyat Palestin meratapi kehilangan insan tersayang yang terkorban akibat serangan Israel. / AA
7 Oktober 2025

Dua Tahun selepas Israel melancarkan perang ke atas Gaza, Palestin kini dalam kehancuran, rakyatnya berdepan krisis kelaparan, wartawan didiamkan, dan hati nurani pemimpin dunia bergolak - ada yang bersubahat dan ada yang memilih bulu.

Apa yang bermula pada Oktober 2023 sebagai serangan Israel ke atas Gaza, kini pada 2025 ia diiktiraf secara rasmi oleh sebuah suruhanjaya PBB sebagai genosid. Lebih 67,000 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terkorban, hampir 170,000 yang lain cedera dan rakyatnya menanggung kelaparan dan pengusiran.

Kepungan Gaza bukan secara kebetulan tetapi dirancang

Kebuluran sebagai senjata genosid

Langkah sekatan Israel terhadap makanan, air, dan bahan api telah mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan paling teruk abad ke-21. Pada penghujung Ogos, PBB secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di beberapa bahagian Gaza, mengesahkan amaran yang telah dikeluarkan oleh agensi bantuan dan kumpulan hak asasi manusia selama berbulan-bulan.

Menurut Ramy Abdu, pengerusi Euro-Med Human Rights Monitor yang berpangkalan di Geneva, kepungan Israel adalah “satu polisi menggunakan makanan dan air sebagai senjata perang dan alat genosid”.

“Krisis kelaparan Gaza berbeza daripada yang lain kerana ia bukan hasil bencana alam atau keruntuhan ekonomi, sebaliknya ia disengajakan kelaparan digunakan untuk membunuh orang awam,” kata Abdu.

Israel telah mengawal sempadan Gaza sejak 2006, bahkan mengira had kalori harian untuk rakyat Palestin semasa kepungan sebelumnya. Apabila Israel mengisytiharkan “kepungan secara total “ pada 9 Oktober 2023 dengan memutuskan bekalan makanan, air, bahan api dan elektrik menyebabkan sistem makanan yang rapuh di Gaza runtuh dengan serta-merta.

Dengan roti yang tidak dapat dibakar, pam air yang tidak berfungsi dan tanah pertanian yang dibom, kelaparan menjadi senjata. Larangan menangkap ikan dan pemusnahan "bakul makanan" Gaza dan tidak memberikan alternatif kepada penduduk tempatan.

“Pendudukan telah menjadikan kerentanannya yang dicipta selama bertahun-tahun sebagai senjata pemusnahan perlahan,” kata Abdu.

Menjelang awal tahun ini, krisis kelaparan semakin merebak dengan pantas. Kanak-kanak, wanita hamil dan warga tua adalah yang pertama meninggal dunia.

Konvoi bantuan disekat, dan apabila orang awam cuba menuju ke kawasan pengedaran yang ditubuhkan oleh "Gaza Humanitarian Foundation" pada 2025 mereka disambut dengan tembakan maut.

PBB melaporkan lebih daripada 1,760 rakyat Palestin terbunuh semasa cuba mendapatkan makanan, hampir 1,000 daripada mereka berhampiran tapak-tapak tersebut.

"Ini bukan kekacauan rawak," kata Abdu. "Ia adalah polisi kelaparan sengaja yang dirancang dengan teliti."

Kebuluran diisytiharkan, akauntabiliti ditangguhkan

Pengkelasan Fasa Keselamatan Makanan PBB (IPC) mengisytiharkan "kebuluran" di Gaza pada 22 Ogos 2025 selepas ketiga-tiga had kritikal kekurangan makanan yang ekstrem, kekurangan zat makanan akut dan kematian yang berkaitan dengan kelaparan dilanggar.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 460 kematian akibat kelaparan, termasuk 150 kanak-kanak dengan satu daripada lima kanak-kanak di Gaza City kini mengalami kekurangan zat makanan.

Namun walaupun selepas pengisytiharan kelaparan yang dipaksa oleh Israel, tiada tindak balas antarabangsa yang berkesan.

"Dunia gagal mendesak Israel, yang terus melanggar resolusi PBB dengan sokongan AS dan Eropah," kata Abdu.

Sebulan selepas itu, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB membuat kesimpulan rasmi bahawa Israel telah melakukan genosid memenuhi empat daripada lima tindakan yang ditakrifkan dalam Konvensyen Genosid 1948: pembunuhan beramai-ramai, kecederaan tubuh badan dan mental, pemusnahan syarat kehidupan dan pencegahan kelahiran.

“Menyifatkan tindakan Israel sebagai genosid seharusnya memicu kewajipan untuk mencegah dan menghukum,” kata Abdu. “Namun dalam amalan, tidak banyak yang telah dilakukan.”

Perang paling dahsyat untuk wartawan

Walaupun Israel mencetuskan kelaparan dan menjatuhkan bom yang memusnahkan Gaza, wartawan-wartawan Palestin terus melaporkan.

Antara mereka adalah Yahya Barzaq, seorang wartawan bebas dari TRT World, yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 30 September 2025, ketika sedang memuat naik rakaman di Deir al Balah.

Sebelum perang, Barzaq dikenali sebagai seorang jurugambar bayi dengan media sosialnya dipenuhi dengan potret bayi yang baru lahir. Selepas Oktober 2023, suapan media sosialnya berubah kepada runtuhan, pengebumian dan garis-garis hitam dukacita.

“Tubuh saya dipindahkan ke selatan, tetapi hati saya tetap di Gaza City,” tulisnya dalam catatan terakhirnya.

Barzaq menjadi salah seorang daripada sekurang-kurangnya 250 wartawan dan pekerja media yang terbunuh sejak perang bermula, menjadikan Gaza salah satu tempat mengorbankan ramai media dalam sejarah moden.

Media Palestin menyatakan bahawa kematian-kematian ini bukanlah kolateral, tetapi sebahagian daripada kempen sengaja untuk mendiamkan pencerita Gaza.

Kesan ekonomi kerana bersubahat

Kengerian yang berlaku di Gaza juga telah mencetuskan pertimbangan ekonomi global.

Gelombang boikot besar-besaran ditujukan jenama multinasional yang didakwa menyokong atau meraih keuntungan daripada tindakan Israel.

Jenama gergasi seperti McDonald's, Starbucks, Coca-Cola, Nestle dan Nike mengalami penurunan jualan di pasaran majoriti Muslim.

Sebagai contoh, McDonald's melaporkan penurunan jualan suku tahunan pertama dalam empat tahun.

Starbucks mengalami penurunan 36 peratus dalam jualan di Malaysia dan beberapa suku global dengan kerugian.

Nike mengalami penurunan 12 peratus dalam hasil global pada suku kedua 2025, sementara keuntungannya jatuh 86 peratus, apabila boikot semakin meningkat.

Jualan minuman ringan juga jatuh. Coca-Cola mengalami penurunan saham di Turki dari 59 peratus ke 54 peratus dan Nestle mengalami penurunan lebih 10 peratus dalam keuntungan pada awal 2025.

Pelabur-pelabur juga mengambil perhatian.

Dana kekayaan negara Norway yang bernilai $2 trilion telah menjual saham daripada lima bank Israel dan Caterpillar yang berpangkalan di AS, dengan alasan "risiko yang tidak dapat diterima" berkaitan dengan jenayah perang.

Dana pencen terbesar Belanda juga mengikut langkah yang sama menjual semua saham Caterpillar bernilai €387 juta berikutan hubungan syarikat itu dengan pasukan tentera Israel.

Krisis moral Eropah

Mungkin tidak ada wilayah yang lebih terjejas kredibilitinya daripada Kesatuan Eropah (EU).

Apabila perang Israel bermula, pemimpin EU Ursula von der Leyen dan Roberta Metsola bergegas ke Tel Aviv untuk menunjukkan solidariti.

Namun dua tahun kemudian, sokongan itu telah berubah menjadi penyesalan dan perpecahan.

Di bawah tekanan awam yang semakin meningkat, Brussels menilai semula perjanjian perkongsian dengan Israel, dengan alasan “pelanggaran hak asasi manusia yang jelas”.

Suruhanjaya Eropah mencadangkan untuk menangguhkan manfaat perdagangan, mengenakan sekatan ke atas ekstremis Israel, dan membekukan dana tetapi pelaksanaannya masih tertangguh akibat perpecahan antara negara anggota.

Walaupun Sepanyol dan Ireland mendesak tindakan, negara-negara lain, terutamanya Jerman, menentang, takut untuk berpisah dengan AS dan Israel.

Pengkritik mengatakan bahawa kekurangan tindakan ini telah mengubah EU daripada pemimpin moral menjadi penonton.

Kenneth Roth, bekas ketua Human Rights Watch, mengatakan bahawa EU gagal mengenali lebih awal bahawa perang Israel telah berubah menjadi perang terhadap orang awam Gaza.

“Sebahagian besar negara Eropah telah menghentikan jualan senjata dan beberapa mengiktiraf negara Palestin,namun blok tersebut masih belum berani menentang AS," kata beliau.

"Persoalannya, adakah EU akan memberi tekanan kepada Washington untuk menghentikan sokongan terhadap pembunuhan beramai-ramai ini?"

Claudio Francavilla dari Human Rights Watch mengkritik tindak balas EU dengan menyebutnya sebagai "terlalu sedikit dan terlalu lewat."

"Eropah secara undang-undang terikat untuk menghalang pembunuhan beramai-ramai berdasarkan konvensyen 1948, tetapi mereka tidak melaksanakannya," katanya.

"Ya, ada kemajuan sekatan, peralihan politik tetapi hakikatnya Israel semakin kehilangan sekutu di Eropah kerana kekejamannya sendiri."

Bagi Niamh Ni Bhriain dari Transnational Institute, kegagalan EU adalah masalah moral sama seperti masalah undang-undang.

"Di dunia yang adil, pemimpin-pemimpin EU sepatutnya dibicarakan di The Hague atas tuduhan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai," katanya. "Kredibiliti mereka kini musnah."

SUMBER:TRT World and Agencies