DUNIA
2 min membaca
"Kami akan usir anda" – PM beri amaran keras isu warga Israel di Network School
Langkah itu diambil susulan dakwaan mengenai kehadiran warga Israel yang didakwa menggunakan dua pasport atau kewarganegaraan berbeza untuk menyertai komuniti Network School yang terletak di Forest City, Johor.
"Kami akan usir anda" – PM beri amaran keras isu warga Israel di Network School
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan pendirian tegas itu berikutan kedudukan rasmi Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. / Facebook/Anwar Ibrahim

Kerajaan Malaysia menegaskan tindakan pengusiran akan diambil serta-merta terhadap mana-mana warga Israel yang dikesan berada di dalam negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan pendirian tegas itu berikutan kedudukan rasmi Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.

Langkah itu diambil susulan dakwaan mengenai kehadiran warga Israel yang didakwa menggunakan dua pasport atau kewarganegaraan berbeza untuk menyertai komuniti Network School yang terletak di Forest City, Johor.

Menurut Anwar, semua agensi penguatkuasaan berkaitan kini sedang giat menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu tersebut.

"Kita siasat, kita tidak izinkan. Kalau ada, tindakan mesti diambil. Kalau ada rakyat Israel, kerana kita tidak iktiraf, mereka akan diusir segera. Tapi (sekarang) semua agensi menjalankan siasatan," tegas beliau.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Wilayah Persekutuan A Celebration of Life and Peace di ibu negara.

Beliau turut menambah bahawa Menteri Pendidikan Tinggi dijangka akan memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan ia telah memulakan siasatan terperinci bagi meneliti identiti serta status kewarganegaraan individu yang terlibat dalam projek itu.

Tindakan pantas tersebut menyusul selepas Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menyuarakan kebimbangan mengenai dakwaan berkenaan.

Network School yang dilancarkan pada tahun 2024 oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan, merupakan sebuah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian.

Komuniti yang menyasarkan golongan techno-optimist itu mula mencetuskan kontroversi di media sosial selepas netizen mempersoalkan kehadiran usahawan asing, termasuk warga Israel, yang memasuki Malaysia melalui program berkenaan.

SUMBER:TRT Global