Kementerian Pertahanan memutuskan untuk tidak lagi mempertimbangkan sebarang perolehan aset ketenteraan dari Norway susulan tindakan unilateral negara itu membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia, menurut laporan Berita Harian.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata keputusan itu telah dipersetujui Jemaah Menteri selepas kementeriannya mengemukakan cadangan sekatan tersebut.
Menurut Khaled, tindakan drastik itu diambil kerana Norway seolah-olah tidak menghormati kedaulatan dan komitmen komersial Malaysia.
Kontrak perolehan sistem persenjataan bernilai RM571.9 juta bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu telah ditandatangani sejak tahun 2018 dan bayaran kemajuan juga telah dibuat.
"Kerajaan bersetuju supaya Kementerian Pertahanan tidak lagi membeli perolehan dari Norway. Ini satu tindakan yang saya percaya sangat betul dan tepat kerana kontrak itu dah ditandatangani, dibayar dan sepatutnya kita menerima penghantaran, tetapi lesen eksport itu dibatalkan pada saat-saat akhir."
Beliau turut menyifatkan alasan keselamatan yang diberikan oleh Oslo sebagai tidak meyakinkan, terutama apabila mereka mendakwa sistem peluru berpandu canggih tersebut kononnya hanya boleh dijual kepada negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekutu rapatnya sahaja.
Pembatalan mengejut tanpa sebarang rundingan awal itu memaksa Malaysia menuntut ganti rugi berjumlah RM1.06 bilion daripada pembekal, Kongsberg Defence & Aerospace (KDA), termasuk bayaran langsung RM604 juta yang telah dilunaskan.
Khaled memberi jaminan bahawa kesiapsiagaan ruang laut negara tidak akan terjejas meskipun perolehan NSM itu dibatalkan.
Aset sedia ada termasuk jet pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilengkapi keupayaan peluru berpandu udara ke permukaan masih mampu menggalas tugas mempertahankan kedaulatan maritim.
"Norway lakukan secara unilateral tanpa pun memaklumkan kepada kita. Kita perlu membuat tempahan dan mengambil masa yang begitu panjang untuk disiapkan, tetapi apabila sampai masanya, mereka terus batalkan lesen eksport. Saya berharap rakyat memahami serta memberi sokongan kepada tindakan kita."
Kerajaan juga kini sedang meneliti kemungkinan untuk memperluaskan sekatan perolehan ini kepada kementerian-kementerian lain, tambah Khaled.
"Yang pastinya, apabila mana-mana kontrak yang membabitkan Norway tamat, kerajaan mungkin tidak akan mendapatkan khidmat dan menyambung kontrak-kontrak itu,” katanya lagi.














