ASEAN perlu jelaskan peraturan perdagangan, tangani kesan kenaikan tarif – Gabenor BNM
Abdul Rasheed Ghaffour berkata langkah ini penting bagi memastikan perdagangan sebenar terus berjalan lancar sambil mengurus lambakan kapasiti dari rantau ini dan kawasan berhampiran.
ASEAN perlu segera menangani kesan kenaikan tarif global dengan memperjelas peraturan rules of origin, menutup ruang transhipment, dan membangunkan mekanisme perlindungan perdagangan, menurut laporan Bernama yang memetik Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata langkah ini penting bagi memastikan perdagangan sebenar terus berjalan lancar sambil mengurus lambakan kapasiti dari rantau ini dan kawasan berhampiran.
“Dalam jangka panjang, keutamaan ialah memperdalam integrasi serantau dan mengekalkan pendekatan multilateral yang pragmatik. Ini bermaksud mempercepat pelaksanaan perjanjian seperti ATIGA yang dipertingkat, RCEP dan DEFA yang hampir dimuktamadkan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Tahunan ke-48 Persekutuan Persatuan Ekonomi ASEAN di Kuala Lumpur.
Menurutnya, perjanjian-perjanjian tersebut mampu meningkatkan perolehan dalam rantau, mengurangkan kos perniagaan dan mengukuhkan perdagangan, serta pelaburan intra-ASEAN, selain mempelbagaikan rangkaian rakan dagang sebagai strategi pemulihan.
Beliau turut menekankan hubungan ASEAN dengan China, Jepun dan Korea yang bukan sahaja berkongsi nilai budaya tetapi turut membentuk rantaian bekalan serantau, termasuk komitmen pembiayaan puluhan bilion dolar bagi projek iklim dan integrasi ekonomi.
Abdul Rasheed menambah bahawa meneroka hubungan lebih mendalam dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Latin juga membuka laluan kepada sumber pertumbuhan baharu, dengan perdagangan ASEAN–EU kini melebihi AS$200 bilion setahun, sementara hubungan dengan Amerika Latin — walaupun masih kecil — menawarkan potensi besar.
Beliau berkata ASEAN mampu muncul sebagai rakan global yang kompetitif dengan memajukan perjanjian perdagangan bertaraf tinggi bersama blok seperti MERCOSUR, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi rantau ini di pentas dunia.