Seorang lelaki berdepan tindakan mahkamah selepas memecahkan tingkap rumah Menteri Luar New Zealand Winston Peters menggunakan besi tuil serta meninggalkan nota bertulis “welcome to the real world” di pintu rumahnya pada Isnin, menurut jurucakap menteri itu pada Selasa.
Menurut laporan, serpihan kaca pecah di atas badan anjing peliharaan Peters yang sedang tidur di bawah tingkap berkenaan.
Serangan itu berlaku susulan tekanan daripada kumpulan penentang dan parti pembangkang terhadap Peters selepas beliau mengumumkan bahawa New Zealand tidak akan mengikut langkah Australia, Britain dan Kanada dalam mengiktiraf negara Palestin.
Beberapa siri tunjuk perasaan turut diadakan di luar kediaman beliau di Auckland.
Dalam kenyataan di platform X, Peters berkata beliau tidak berada di rumah ketika kejadian, namun pasangannya serta seorang tetamu berada di lokasi.
“Ini tindakan pengecut,” katanya sambil menegur perbuatan sesetengah pihak yang menggalakkan tingkah laku ekstrem dengan menyebarkan alamat rumah ahli politik.
Sementara itu, Komander Daerah Bandar Auckland Superintenden Sunny Patel memaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 29 tahun telah menyerah diri kepada polis dan akan dihadapkan ke mahkamah pada 10 Oktober.
“Polis menghormati hak untuk mengadakan protes secara sah, namun kami tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan yang menyebabkan kerosakan harta benda,” katanya.