Banjir kilat di Sulawesi Utara ragut 14 nyawa, empat masih hilang
Gabenor Sulawesi Utara Yulius Selvanus berkata banjir kilat itu turut memusnahkan ratusan rumah serta beberapa bangunan kerajaan, menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur setempat.
Sekurang-kurangnya 14 orang maut selepas dihanyutkan banjir kilat di Sulawesi Utara, Indonesia, manakala empat lagi masih dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa pada Selasa.
Jurucakap agensi penyelamat tempatan, Nuriadin Gumeleng, berkata hujan lebat pada awal Isnin telah menyebabkan banjir kilat di Pulau Siau, dalam wilayah Siau Tagulandang Biaro.
Seramai 16 anggota penyelamat digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat, dengan 18 orang dilaporkan cedera setakat ini.
Beliau berkata pihak berkuasa sedang mengumpul maklumat daripada penduduk setempat bagi memastikan tiada mangsa lain yang belum dikenal pasti.
Setakat Selasa, beberapa jalan utama di kawasan terjejas masih dipenuhi batu, runtuhan dan lumpur tebal.
Jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia Abdul Muhari memaklumkan sekurang-kurangnya 444 penduduk telah dipindahkan ke sekolah dan gereja berhampiran.
Jentera berat turut dikerahkan bagi membersihkan laluan yang terhalang akibat runtuhan.
Gabenor Sulawesi Utara Yulius Selvanus berkata banjir kilat itu turut memusnahkan ratusan rumah serta beberapa bangunan kerajaan, menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur setempat.
Banjir itu berlaku ketika pulau Sulawesi memasuki kemuncak musim hujan, selaras dengan ramalan agensi meteorologi Indonesia.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa beberapa wilayah lain termasuk Jawa, Maluku dan Papua turut berdepan risiko banjir sepanjang Januari dan Februari ini.
Sebelum ini, hujan lebat di Sumatera dan Borneo mencapai kemuncak pada November dan Disember lalu.
Pada November, banjir dan tanah runtuh akibat ribut tropika di Sumatera mengorbankan lebih 1,000 nyawa, dengan kumpulan alam sekitar menegaskan penebangan hutan untuk perlombongan dan pembalakan memburukkan lagi kesan bencana.