Anwar: Pemimpin dunia perlu kembalikan kewarasan politik

Anwar berkata prestasi antarabangsa Malaysia sehingga penghujung tahun lalu adalah membanggakan, khusus dalam peranannya sebagai Pengerusi ASEAN serta dalam memperkukuh hubungan dengan negara jiran.

By
Anwar Ibrahim semasa memberi ucapan di majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Luar pada Isnin, 23 Februari 2026. / Foto: Pejabat Perdana Menteri / Other

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru agar kewarasan dikembalikan dalam landskap politik antarabangsa yang semakin tidak menentu.

“Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai politik antarabangsa ketika ini, namun kebimbangan utama saya adalah keperluan untuk mengembalikan kewarasan dalam kalangan pemimpin politik dunia.

“Semoga Allah mengurniakan cahaya petunjuk itu, mungkin tidak sangat di rantau ini, tetapi di beberapa rantau lain,” katanya di majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Luar pada Isnin.

Anwar berkata prestasi antarabangsa Malaysia sehingga penghujung tahun lalu adalah membanggakan, khusus dalam peranannya sebagai Pengerusi ASEAN serta dalam memperkukuh hubungan dengan negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia, selain negara-negara anggota ASEAN lain.

Menurut beliau, Malaysia turut memperluas jaringan kerjasama ke Asia, Eropah dan secara lebih berani ke Amerika Latin termasuk Peru dan Brazil, serta ke Afrika Selatan termasuk Ethiopia dan Kenya.

Beliau menegaskan usaha diplomatik yang diterajui Menteri Luar dan Wisma Putra bukan sekadar bersifat memenuhi upacara, sebaliknya melambangkan persahabatan, persaudaraan dan kerjasama antara negara.

Tambahnya, ia juga membuka ruang untuk meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan yang mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak.

Dalam pada itu, Anwar berkata transformasi ekonomi dan digital semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin kelangsungan negara, khususnya bagi Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Kelangsungan sesebuah negara bergantung kepada keupayaan kita menerima antara satu sama lain sebagai satu keluarga besar,” katanya, sambil menyifatkan kehadiran tetamu bukan Islam pada majlis berbuka puasa itu sebagai simbol semangat keterangkuman dan perpaduan yang merentas semua komuniti.