ASIA
1 min membaca
Malaysia tunjang perpaduan ummah, satukan bangsa atas semangat keamanan
Pengiktirafan tersebut dizahirkan oleh Timbalan Presiden Kesatuan Ulama’ Muslim Antarabangsa (IUMS) Syeikh Muhammad Al-Hasan Al-Diddu Al-Shanqiti dalam satu pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Malaysia tunjang perpaduan ummah, satukan bangsa atas semangat keamanan
Anwar Ibrahim semasa bertemu Syeikh Muhammad Al-Hasan Al-Diddu Al-Shanqiti. / Facebook/Anwar Ibrahim

Malaysia kini diiktiraf sebagai sebuah negara contoh yang bukan sahaja berjaya menjaga kebajikan rakyatnya sendiri, malah berperanan penting sebagai ejen penyatuan pelbagai negara dan bangsa lain di bawah semangat keamanan sejagat.

Pengiktirafan tersebut dizahirkan oleh Timbalan Presiden Kesatuan Ulama’ Muslim Antarabangsa (IUMS) Syeikh Muhammad Al-Hasan Al-Diddu Al-Shanqiti dalam satu pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Khamis.

“Syeikh Muhammad Al-Hasan turut berpesan, Malaysia kini bukan sahaja menjaga rakyatnya, bahkan telah menjadi negara yang menyatukan pelbagai negara dan bangsa lain atas semangat keamanan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Pertemuan berkenaan turut menjadi platform bagi membincangkan pelbagai isu kritikal yang melanda dunia Islam ketika ini.

Antara perkara utama yang dibangkitkan termasuklah krisis peperangan yang berlarutan, penindasan terhadap umat Islam, serta pencabulan hak asasi manusia yang semakin membimbangkan.

"Banyak perkara yang telah kami bicarakan dalam pertemuan ini antaranya krisis peperangan dan penindasan, pencabulan kepada hak asasi dan kedaulatan bagi setiap negara," tambah Anwar.

Kehadiran Syeikh Muhammad Al-Hasan bersama delegasinya dalam rangka program di Malaysia dilihat memperkukuh hubungan antara kepimpinan ulama antarabangsa dengan Malaysia dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu kedaulatan negara.

SUMBER:TRT Global