TÜRKİYE
3 min membaca
Dasar Israel yang semakin agresif ancam keamanan serantau: Erdogan
“Kita tidak boleh meninggalkan perjuangan Palestin dan tidak boleh berdiam diri ketika kerajaan Netanyahu menukar rantau kita menjadi medan berdarah,” kata Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Dasar Israel yang semakin agresif ancam keamanan serantau: Erdogan
Erdogan menyeru kerjasama bagi menghentikan kekejaman Israel di Gaza yang telah meragut lebih 57,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023. / Reuters

Dasar Israel yang semakin agresif di bawah pentadbiran semasanya kini mengancam keamanan dan kestabilan serantau, kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Kenyataan beliau itu dibuat pada Jumaat ketika berucap di Sidang Kemuncak ke-17 Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (ECO) di bandar Khankendi, Azerbaijan.

“Kita tidak boleh meninggalkan perjuangan Palestin dan tidak boleh berdiam diri ketika kerajaan Netanyahu menukar rantau kita menjadi medan berdarah,” katanya.

Erdogan menggesa agar semua pihak bekerjasama bagi menghentikan kekejaman Israel di Gaza, yang telah mengorbankan lebih 57,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023.

Mengenai serangan Israel ke atas Iran, Erdogan menegaskan bahawa Turkiye telah berusaha sedaya upaya untuk menghalang konflik itu daripada merebak ke seluruh rantau.

Menyatakan harapan agar gencatan senjata antara Israel dan Iran dapat membawa kepada “ketenangan,” beliau berkata punca serangan Israel terhadap Iran, Lubnan dan Syria adalah “dasar yang bertujuan memaksa rakyat Palestin tunduk.”

‘Tempoh kritikal’

Menyentuh mengenai Syria, Erdogan menekankan kepentingan sokongan kewangan berterusan dan pemerkasaan hubungan dengan pentadbiran baharu oleh masyarakat antarabangsa “dalam tempoh kritikal ini.”

Mengenai Afghanistan, beliau berkata: “Kami percaya bahawa kita mesti menyokong keselamatan, keamanan dan pembangunan rakyat Afghanistan.”

Dalam ucapannya kepada negara-negara yang menghadiri sidang kemuncak ECO, Erdogan turut menyeru agar hubungan yang lebih erat dengan masyarakat Turki Cyprus diperkukuh dalam bidang sukan, budaya, ekonomi dan pelancongan.

“Saya percaya bahawa Pertubuhan kita akan terus memperkukuh solidariti dengan saudara kita dari Turki Cyprus, yang telah menjadi ahli pemerhati sejak 2012 dan telah lama dikenakan pengasingan yang tidak adil.

“Sehubungan itu, saya berharap anda akan mempertingkat hubungan dengan masyarakat Turki Cyprus dalam pelbagai bidang, daripada sukan dan budaya hinggalah kepada ekonomi dan pelancongan,” katanya.

Ekonomi dan tenaga bersih

Erdogan turut menekankan bahawa mereka perlu memperkembangkan lagi visi dalam bidang ekonomi dan perdagangan, yang merupakan bidang utama kerjasama pertubuhan itu.

“Kita mesti mengambil langkah bersama untuk meningkatkan sasaran jumlah dagangan serantau daripada AS$100 bilion kepada angka yang lebih tinggi,” katanya.

Menyentuh isu tenaga bersih, Erdogan berkata bahawa melalui Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional Turkiye bagi tahun 2024-2030, mereka menjangkakan pengurangan sebanyak 100 juta tan pelepasan karbon dioksida.

Mengenai Projek Sisa Sifar, beliau berkata inisiatif itu memberi “kekuatan tambahan” dalam usaha memerangi perubahan iklim.

“Sejak ia dimulakan, kita telah mengelakkan kira-kira 6 juta tan pelepasan gas rumah hijau,” kata Erdogan.

Beliau berkata Turkiye sedang mentransformasi sektor-sektor utamanya bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2053 dan merealisasikan visi pembangunan hijau negara. Negara itu juga telah meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasang keseluruhan kepada 59 peratus melalui inisiatif inovatif, khususnya dalam bidang tenaga.

Sidang kemuncak ini diadakan dengan tema, “Visi Baharu ECO untuk Masa Depan Mampan dan Tahan Iklim.”

SUMBER: AA

Cari Berita Lain
Türkiye umum Formula 1 bakal kembali ke Istanbul Park pada 2027
Forum Diplomasi Antalya memperluas peranan diplomatik Türkiye, kata Fidan
Duran: Harapan masa depan dunia terletak pada seruan Türkiye
Israel guna keselamatan sebagai alasan untuk rampas 'lebih banyak tanah': Menteri Luar Türkiye Fidan
Presiden Erdogan sifatkan aturan global di ‘ambang berbahaya,’ seru diplomasi dan kestabilan
Forum Diplomasi Antalya 2026 bermula dengan kehadiran pemimpin global
The Daily Telegraph padam laporan palsu mengenai Erdogan
Pemimpin dunia berkumpul di Türkiye untuk Forum Diplomasi Antalya ke-5
Insiden tembakan berhampiran konsulat Israel di Istanbul, 3 pengganas "dineutralkan" - Menteri Turki
‘Penentang kronik’: Mengapa peranan Türkiye dalam NATO buat Israel gelisah?
Türkiye tidak akan berdiam diri bila Israel campak seluruh rantau dalam kancah peperangan: Erdogan
Presiden Turkiye gesa perpaduan semasa Aidilfitri di tengah-tengah ketegangan Timur Tengah
Türkiye kecam rancangan jahat cetus perang saudara di Iran: Fidan
Sokongan NATO kepada Türkiye uji kesediaan pakatan itu semasa berdepan ketegangan Timur Tengah
12 Mac, hari memperingati lagu kebangsaan dan penyair nasional Türkiye, Mehmet Akif Ersoy
Türkiye sokong keamanan, mahu lihat gencatan senjata dalam perang Iran, kata Erdogan
Erdogan: Hentikan perang AS-Israel ke atas Iran sebelum ia merebak
Türkiye siap sedia sistem pertahanan Patriot lindungi ruang udara susulan perang Iran
Peluru berpandu balistik Iran dipintas dalam perjalanan ke Türkiye
Turkiye hantar enam F-16, sistem pertahanan ke Cyprus Utara susulan perang AS-Israel ke atas Iran