PERANG GAZA
2 min membaca
Malaysia kutuk tindakan ganas rejim Israel terhadap misi Global Sumud Flotilla, 10 rakyat ditahan
Susulan situasi getir itu, Kerajaan MADANI kini sedang berhubung serta bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan kesemua mangsa dibebaskan dengan segera.
Malaysia kutuk tindakan ganas rejim Israel terhadap misi Global Sumud Flotilla, 10 rakyat ditahan
Kesemua 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan dilaporkan terputus hubungan selepas ditahan oleh pihak berkuasa rejim ganas itu. / AA

Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas rejim Zionis Israel terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa yang menyaksikan 10 rakyat tempatan kini ditahan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan tersebut sebagai pelanggaran nyata undang-undang maritim dan menyamai tindakan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.

Dalam perkembangan terbaharu, kesemua 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan dilaporkan terputus hubungan selepas ditahan oleh pihak berkuasa rejim ganas itu.

Anwar berkata, Malaysia mendesak agar keselamatan kesemua aktivis dijamin tanpa sebarang kompromi dan menuntut agar tiada tindakan keras dikenakan terhadap mereka sepanjang dalam tahanan.

"Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan. Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi," tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan situasi getir itu, Kerajaan MADANI kini sedang berhubung serta bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan kesemua mangsa dibebaskan dengan segera.

Menurut beliau, usaha diplomatik sedang digerakkan di peringkat antarabangsa bagi memberikan tekanan kepada pihak rejim agar menghormati undang-undang antarabangsa.

Kenyataan itu turut menekankan bahawa dalam keadaan krisis seumpama ini, nilai ihsan dan kemanusiaan harus mengatasi segala perbezaan.

Malaysia berikrar akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip keadilan demi memastikan bantuan kemanusiaan dapat sampai ke destinasi tanpa gangguan ketenteraan.

"Kepada Allah kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan, semoga kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi Global Sumud Flotilla," tambahnya lagi.

SUMBER:TRT Global