Loji penapisan Asia Tenggara kurangkan pengeluaran ekoran sekatan bekalan minyak mentah
Menurut sumber, Prefchem yang sebelum ini beroperasi pada kapasiti 50 peratus, turut merancang untuk menghentikan operasi beberapa unit derivatif lain dalam masa terdekat ekoran ketiadaan bahan mentah.
Sebilangan besar loji penapisan minyak di Asia Tenggara yang bergantung kepada bekalan dari Timur Tengah kini mula mengurangkan pengeluaran.
Langkah itu diambil susulan gangguan bekalan minyak mentah yang meruncing akibat konflik antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, yang kini melumpuhkan laluan strategik di Selat Hormuz.
Loji penapisan Pengerang Refining Co (Prefchem) di Malaysia, yang merupakan usaha sama antara Petronas dan Saudi Aramco, dilaporkan telah menutup unit penapisan berkapasiti 300,000 tong sehari pada minggu lalu.
Menurut sumber, Prefchem yang sebelum ini beroperasi pada kapasiti 50 peratus, turut merancang untuk menghentikan operasi beberapa unit derivatif lain dalam masa terdekat ekoran ketiadaan bahan mentah.
Di Singapura, Singapore Refining Co (SRC) turut mengambil langkah yang sama dengan mengurangkan kadar operasi di tapak Pulau Jurong kepada sekitar 60 peratus berbanding 75 peratus sebelum ini.
ExxonMobil juga dilaporkan telah memotong kadar pengeluaran kepada 50 peratus atau lebih rendah di loji penapisannya di lokasi yang sama akibat kelewatan penghantaran bekalan minyak dari Timur Tengah.
Data pengesanan kapal Kpler menunjukkan bahawa lebih 70 peratus import minyak mentah Prefchem dan sekitar 65 peratus bekalan ExxonMobil di Singapura tahun lalu disalurkan melalui Selat Hormuz.
Penutupan laluan itu bukan sahaja menjejaskan bekalan minyak mentah, malah menyebabkan beberapa firma petrokimia di Asia terpaksa mengisytiharkan force majeure susulan kekurangan bekalan nafta.
"Prefchem dijangka menutup unit 'steam cracker' berkapasiti 1.2 juta tan setahun minggu ini selepas menghentikan operasi unit pembuatan petrol beberapa hari lalu," menurut sumber yang mahir mengenai perancangan syarikat berkenaan.
Situasi ini mencerminkan impak besar konflik Asia Barat terhadap sekuriti tenaga serantau.
Buat masa ini, SRC dijangka mengekalkan kadar operasi yang rendah sehingga akhir bulan ini sementara menunggu ketibaan kargo import yang tertangguh, yang turut menjejaskan komitmen penghantaran kepada pembeli.