KDN teliti senario kesan konflik AS-Iran, pastikan keselamatan negara terjamin
Ini termasuk kesan terhadap keselamatan dalam negara, pergerakan rentas sempadan, kestabilan ekonomi domestik serta kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang menilai pelbagai kemungkinan dan senario yang berpotensi berlaku susulan konflik di Asia Barat, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Ini, katanya, termasuk kesan terhadap keselamatan dalam negara, pergerakan rentas sempadan, kestabilan ekonomi domestik serta kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan.
Beliau berkata demikian pada Khamis semasa mengadakan Mesyuarat Strategik bagi memperincikan kesan konflik yang kian memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Saifuddin itu bertujuan untuk meneliti setiap perkembangan geopolitik di Asia Barat yang kini menjadi tumpuan dunia, memandangkan ketidaktentuan tersebut mampu memberi impak kepada kestabilan global.
Kerajaan, katanya, memandang serius perkembangan ini kerana ia secara tidak langsung mempengaruhi rantaian bekalan tenaga dan mencetuskan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa.
Sebagai negara yang tidak terkecuali daripada tempias global, Malaysia perlu bersiap siaga mendepani cabaran ekonomi yang mungkin menyentuh kos sara hidup dan bekalan domestik sekiranya konflik tersebut berlarutan tanpa penyelesaian diplomatik.
“Di Kementerian Dalam Negeri, setiap saranan dan hala tuju yang digariskan oleh YAB Perdana Menteri sentiasa diterjemahkan melalui pendekatan yang strategik, dan berpandangan jauh agar negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang perkembangan global.
“Keutamaan kita jelas, iaitu memastikan keselamatan negara terus terpelihara, dan rakyat Malaysia dilindungi daripada sebarang ketidaktentuan luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.