Ukraine perlukan jaminan keselamatan yang lebih dan Presiden Rusia Vladimir Putin tidak takut dengan Eropah, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy kepada Fox News, sambil mendesak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menyokong Ukraine.
“Kami mahu beliau (Trump) berada di pihak keadilan, di pihak Ukraine,” kata Zelenskyy dalam wawancara yang disiarkan pada Selasa malam. “Putin tidak takut dengan Eropah.”
Rumah Putih belum mengeluarkan sebarang komen rasmi.
Zelenskyy turut menegaskan bahawa Ukraine tidak boleh mengiktiraf ‘pendudukan’ Rusia dan memilih penyelesaian secara diplomatik.
Trump, yang secara rasmi memegang jawatan pada 20 Januari, berjanji untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine dalam masa terdekat, tetapi perincian pendekatannya masih tidak jelas.
Pembantu-pembantu beliau berkata perjanjian itu mungkin mengambil masa beberapa bulan.
Trump turut menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan Putin untuk menamatkan perang, satu pendekatan berbeza daripada bekas Presiden Joe Biden yang mengelak perbincangan langsung dengan pemimpin Rusia itu.
Kemenangan Trump dalam pilihan raya November lalu memberi harapan baharu untuk penyelesaian diplomatik, tetapi pada masa yang sama menimbulkan kebimbangan di Kiev mengenai syarat perjanjian damai.
Sejak perang Rusia-Ukraine bermula pada Februari 2022, pentadbiran AS di bawah Biden telah menyalurkan lebih $175 bilion bantuan kepada Ukraine, termasuk lebih $60 bilion dalam bantuan keselamatan.
Namun, masih tidak pasti sama ada bantuan ini akan diteruskan dengan kadar yang sama di bawah pentadbiran Trump.
SUMBER: AFP















